“Kami Masih Suami Isteri, Doakan Baik-Baik”

“Kami Masih Suami Isteri, Doakan Baik-Baik”

Teka-teki mengenai status rumah tangga penyanyi Kaka Azraff, 36, bersama suaminya, Adam Azriff akhirnya terjawab apabila dia mengesahkan mereka masih bergelar suami isteri.

Pemilik nama sebenar Nor Atiqah Nor Azraff berkata, dia memilih untuk tidak terlalu terbuka berkongsi hal rumah tangga kerana bimbang kesannya terhadap keluarga, khususnya anak-anak.

“Kami masih suami isteri dan doakan yang baik-baik untuk kami. Sebenarnya saya bukannya takut hendak dedahkan status rumah tangga, cuma bimbang jika terlalu menghebahkan perkara macam ini,” katanya.

Tambah Kaka, pengalaman hidup membuatkan dia kini lebih berhati-hati dalam berkongsi hal peribadi, apatah lagi selepas menyedari kewujudan penyakit ain.

“Dulu saya terlalu naif dan tidak percaya tentang penyakit ain. Tetapi selepas apa yang dilalui, saya jadi lebih berhati-hati untuk berkongsi hal peribadi sama ada di media sosial atau kepada umum.

“Bagi saya, hal rumah tangga terlalu peribadi. Jadi cukuplah orang tahu kisah dasarnya sahaja,” ujarnya.

Julai lalu, rumah tangga pasangan ini kembali menjadi bualan selepas timbul dakwaan mereka berdepan pergolakan.

Namun ketika itu, Kaka memilih untuk tidak memberikan sebarang kenyataan demi menjaga kesihatan mental anak-anaknya.

Kata Kaka lagi, anak-anak mereka semakin membesar dan suatu hari nanti mampu membaca berita berkaitan ibu bapa sendiri, justeru dia tidak mahu perkara negatif memberi kesan kepada emosi mereka.

“Saya hanya minta doa daripada semua. Kalau boleh, saya tak mahu sentuh langsung hal peribadi demi anak-anak. Mereka akan membesar dan satu hari nanti boleh membaca.

“Saya tidak mahu mereka membaca berita yang tidak baik mengenai rumah tangga saya dan bapa mereka,” jelasnya.

Dalam masa sama, Kaka mengakui sebagai selebriti, dia perlu menerima hakikat bahawa kehidupan peribadi sentiasa menjadi perhatian, namun tetap berharap orang ramai menghormati batas privasi yang cuba dijaganya.

Terdahulu, Kaka dan Adam disahkan bercerai talak satu secara ekspres di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 28 Oktober 2024.

Bagaimanapun, pasangan ini dilaporkan rujuk semula pada Januari lalu ketika masih dalam tempoh iddah.

Untuk rekod, Kaka dan Adam mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aslan, 6, Aryan, 4, serta Atta Adam yang kini berusia setahun.

Related post

Leave a Reply