Isu Lelaki Berpakaian Wanita Di Majlis Antarabangsa, JAWI Akan Panggil Untuk Siasatan
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan mengadakan pertemuan dengan seorang lelaki warganegara tempatan yang berpakaian menyerupai wanita ketika menghadiri sebuah majlis bertaraf antarabangsa baru-baru ini.
Pengarah JAWI, Hanifuddin Roslan berkata, pertemuan itu adalah bagi tujuan siasatan lanjut terhadap insiden tersebut.
“JAWI telah mengambil maklum berhubung kejadian berkenaan. Panggilan telah dibuat dan pertemuan dengan individu terbabit akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, tular di media sosial rakaman video berdurasi 27 saat memaparkan lelaki tersebut mengenakan gaun mencolok mata pada majlis berprestij itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan memaklumkan bahawa JAWI telah diarahkan untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap isu berkenaan.
Menurutnya, langkah tersebut bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, susulan perbuatan lelaki itu yang mengundang reaksi negatif masyarakat serta disifatkan mencabar sensitiviti agama dan norma budaya negara.
Dalam masa sama, JAWI juga diarahkan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menurunkan kandungan video berkenaan daripada media sosial.
