Siti Nurhaliza Ziarah Sitizoner Di ICU

Siti Nurhaliza Ziarah Sitizoner Di ICU

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46, meluangkan masa menziarahi seorang peminat setianya yang dikenali sebagai Fadzil Sitizoner, yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital.

Perkhabaran mengenai keadaan Fadzil dikongsikan menerusi sebuah akaun TikTok yang memuat naik foto Siti bersama pengurus peribadinya, Rozi Abdul Razak, ketika menziarahi peminat berkenaan.

Menerusi kapsyen yang ditulis, pemilik akuan menyeru orang ramai, khususnya warga Sitizoner, agar bersama-sama mendoakan kesembuhan Fadzil yang masih berada di bawah pemantauan rapi pihak perubatan.

“Mohon semua doakan Fadzil Sitizoner. Buat masa ini, Fadzil berada di ICU dan memerlukan pemantauan rapi doktor.

“Kami sebagai keluarga Sitizoner amat mengharapkan doa daripada semua agar Fadzil diberikan kekuatan, kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan rawatan.

“Terima kasih atas doa dan sokongan semua. Sayang Sitizoners semua,” tulisnya.

Setakat ini, tiada maklumat lanjut didedahkan mengenai penyakit yang dialami Fadzil.

Fadzil merupakan antara tulang belakang kelab peminat Sitizoners yang dikenali sebagai individu peramah, mesra serta aktif membantu dalam pelbagai program kebajikan dan aktiviti anjuran kelab berkenaan.

Kehadiran Siti menziarahi Fadzil nyata menyentuh hati ahli kelab peminatnya yang menyifatkan tindakan itu sebagai bukti keprihatinan dan penghargaan penyanyi kesayangan mereka terhadap sokongan peminat sepanjang karier seninya.

Related post

Leave a Reply