“Saya Tak Sambut Krismas”
Pelakon, Datin Intan Najuwa, 28, tampil menjelaskan kekeliruan yang timbul selepas tindakannya menerbangkan keluarga pembantu rumahnya dari Filipina ke Kuala Lumpur disalah tafsir sebagai menyambut perayaan Krismas.
Intan menegaskan dia sama sekali tidak terlibat dalam sambutan tersebut, sebaliknya hanya mahu membantu pembantu rumahnya yang beragama Kristian untuk berkumpul bersama keluarga sempena perayaan itu.
Menurut Intan, dia sudah menjangkakan akan menerima pelbagai reaksi netizen terhadap perkara tersebut, namun menegaskan niatnya sekadar memudahkan urusan keluarga berkenaan.
“Saya memang tak sambut Krismas. Pembantu rumah saya beragama Kristian, jadi saya bawa keluarganya ke sini supaya mereka dapat menyambut bersama,” tulisnya dalam hantaran di Threads.
Tambah pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu, dia tidak berniat untuk turut serta dalam sebarang aktiviti perayaan, sebaliknya hanya ingin menyatukan ahli keluarga yang sudah lama terpisah.
“Bukan saya menyertai sambutan mereka. Niat saya cuma untuk menyatukan keluarga yang sudah lama tidak berjumpa,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Intan menunaikan janjinya untuk menerbangkan keluarga pembantu rumahnya ke Malaysia sebagai tanda penghargaan atas keikhlasan dan kasih sayang pembantu tersebut dalam menjaga anaknya, Imane Lunara.
