Wanita Didakwa Jadikan KLIA Sebagai Rumah Dirujuk Ke Hospital Kajang

Wanita Didakwa Jadikan KLIA Sebagai Rumah Dirujuk Ke Hospital Kajang

Seorang wanita dilihat bertindak agresif terhadap orang awam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan para pengembara selepas video kejadian itu tular di media sosial.

Video yang dimuat naik di TikTok itu memaparkan wanita yang didakwa ‘tinggal’ di KLIA selama setahun itu berkenaan memarahi beberapa individu di terminal berkenaan.

Difahamkan, dia berasa tidak puas hati terhadap kanak-kanak yang bermain di kawasan tersebut dan dilihat meninggikan suara semasa berdepan dengan orang ramai, sekali gus menarik perhatian penumpang lain di sekitarnya.

Rakaman itu dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial dan mencetuskan pelbagai spekulasi dalam talian, termasuk dakwaan bahawa wanita tersebut telah berada di lapangan terbang itu untuk tempoh yang lama, malah ada yang mendakwa dia menjadikan ruang pelepasan sebagai tempat tinggal sementara.

Selain itu, ada juga mendakwa dia turut menikmati sambungan Wifi, selain air dan elektrik secara percuma.

Susulan penularan video berkenaan, pihak polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian kekecohan di KLIA, menurut laporan Kosmo! dan Buletin TV3.

Timbalan Ketua Polis Daerah KLIA, Superintendan Albany Hamzah berkata, anggota polis telah digerakkan ke lokasi bagi menilai keadaan selepas menerima aduan mengenai tingkah laku wanita tersebut.

Hasil pemeriksaan mendapati wanita tempatan itu memiliki kad kesihatan mental dan dia kemudiannya dirujuk ke Hospital Kajang untuk tindakan lanjut pada Khamis.

Related post

Leave a Reply