Bekas Pengarah Muzik BigHit Terkejut Dengan Kenyataan RM, Dakwa Ada Masalah Dalaman Serius Di HYBE

Bekas Pengarah Muzik BigHit Terkejut Dengan Kenyataan RM, Dakwa Ada Masalah Dalaman Serius Di HYBE

Baru-baru ini, kumpulan K-Pop popular, BTS telah mengadakan sesi siaran langsung yang disertai oleh kesemua tujuh ahli, sekali gus mencuri perhatian besar peminat di seluruh dunia.

Perhatian khusus tertumpu kepada kenyataan jujur ketua kumpulan itu, RM, mengenai syarikat pengurusan mereka.

RM berkata, dia berharap agensi yang menaungi BTS akan lebih mengambil berat tentang mereka.

“Saya biasanya tidak berkata begini. Saya cuma berharap mereka akan menjaga dan mengambil berat tentang kami,” tutur RM.

Susulan kenyataan tersebut, bekas pengarah BigHit Music, Elly Chae, tampil meninggalkan komen secara terbuka mengenai perkara tersebut.

“Saya tidak menyaksikannya sendiri, tetapi sebagai bekas kakitangan BigHit, saya benar-benar terkejut dengan kenyataan Namjoon (nama sebenar RM). Untuk seorang artis membuat kenyataan seberani ini menunjukkan adanya masalah dalaman yang besar.

“Jika ahli-ahli memilih untuk menyertai khidmat ketenteraan secara berasingan dan bukan serentak, tempoh wajib ketenteraan dan jadual selepas tamat perkhidmatan sepatutnya sudah ditetapkan, malah sebahagiannya sudah pun berjalan. Pihak syarikat mungkin mengharapkan ketujuh-tujuh ahli menyertai tentera pada masa yang sama, tetapi nampaknya persetujuan tidak dicapai.

“Pada waktu di mana semua pihak sepatutnya giat membuat promosi dan bersiap untuk konsert jelajah dunia sejurus selepas tamat khidmat tentera, pelbagai isu lain sedang berlaku, termasuk konflik berterusan melibatkan NewJeans dan Min Hee Jin, siasatan terhadap IPO Bang, serta pemasaran dan promosi kumpulan baharu seperti CORTIS.

“Dengan terlalu banyak insiden berlaku serentak, BTS pasti merasakan mereka sering diketepikan. Berdasarkan struktur syarikat ini, ia tidak boleh berfungsi sepenuhnya tanpa pengesahan daripada pengerusi, tidak kira sebesar mana pun organisasi itu.

“Dari sudut pandang syarikat, tujuh ahli asal yang menjadi asas kepada syarikat masih perlu menjana pendapatan. Namun, setahu saya, ramai pekerja yang menjalankan tugas dengan baik telah berhenti, dan yang tinggal hanyalah barisan eksekutif yang terlibat dengan politik dalaman. Jadi saya sendiri tidak pasti tentang keadaan sebenar sekarang,” tulisnya.

Sumber: Koreaboo

Related post

Leave a Reply