“Bila Dengar Suara Mereka Menahan Tangis, Hati Saya Hancur”

“Bila Dengar Suara Mereka Menahan Tangis, Hati Saya Hancur”

Pelakon, Datin Seri Zizie Ezette, 47, meluahkan rasa pilu yang sukar digambarkan setiap kali melihat anak-anaknya menahan rindu terhadap bapa mereka, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Zizie berkata kesedihan itu bukan untuk meraih simpati sesiapa, sebaliknya sekadar luahan seorang ibu yang sedang berdepan fasa kehilangan paling berat dalam hidupnya.

“Saya bukan jenis yang suka berkongsi perasaan atau hal peribadi. Saya hanya ingin meluahkan apa yang terpendam kerana apa yang berlaku benar-benar memberi kesan kepada anak-anak,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Menurut Zizie, detik yang paling meruntun hati berlaku apabila dia terdengar tangisan anak lelakinya, Aadam pada lewat malam ketika semua sedang tidur.

“Saya dengar seseorang menangis teresak-esak. Bila saya tanya, dia kata sakit kepala. Tapi sebagai ibu, saya tahu itu bukan sebab sebenar. Dia sebenarnya sedang merindui ayahnya,” ujarnya.

Keadaan itu, katanya, turut dirasai oleh anak kembarnya, Aaleph, 7, yang tidak mampu menahan emosi apabila ditanya.

“Saya peluk Aaleph dan bila saya tanya kenapa dia sedih, dia cuma berbisik ‘Aaleph rindu daddy’ sebelum terus menangis,” katanya.

Tambah Zizie, anak perempuannya, Aalisa, juga mengalami detik sama ketika berada di sekolah.

“Cikgu beritahu dia tiba-tiba menjadi pendiam semasa latihan lagu Count On Me. Bila balik rumah, dia cakap dia sedih sebab teringat daddy,” luahnya.

Rasa kehilangan itu bukan hanya dirasai oleh tiga anaknya yang masih kecil, malah turut dikongsikan oleh Jenna dan Aaric, yang sama-sama merindui sosok seorang ayah.

Sebagai seorang ibu, Zizie mengakui dirinya berusaha untuk kekal kuat, meskipun hatinya sering luluh melihat anak-anak menyimpan kesedihan dalam diam.

“Saya tahu saya perlu kuat, tetapi bila dengar suara mereka yang menahan tangis, hati saya seakan hancur.

“Namun saya akan terus memeluk dan menyayangi mereka. Kami tidak berputus asa, kami hanya sedang belajar menguruskan rindu sambil meneruskan kehidupan,” katanya.

Untuk rekod, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin menghembuskan nafas terakhir pada 5 Disember lalu akibat kegagalan buah pinggang serta jangkitan kuman pada paru-paru. Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2009 dan dikurniakan lima cahaya mata.

Related post

Leave a Reply