“Hawra Uqaira Anak Kandung Saya”

“Hawra Uqaira Anak Kandung Saya”

Pelakon, Kamal Adli, 39, tampil mempertahankan maruah keluarga apabila menegaskan anak perempuannya, Hawra Uqaira adalah zuriat kandung yang sah hasil perkahwinannya bersama isteri, aktres Uqasha Senrose.

Pemilik nama sebenar Ahmad Kamal Ahmad Adli, menyifatkan tuduhan segelintir individu yang mempertikaikan status anaknya sebagai keterlaluan dan tidak berperikemanusiaan.

“Ini sudah melampaui batas. Terlalu melampau untuk seorang manusia yang normal, apatah lagi sebagai seorang Muslim. Hawra Uqaira anak kandung saya,” tegasnya menerusi hantaran di Threads.

Dalam luahan sama, Kamal turut menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata serta menghentikan penyebaran kenyataan berunsur fitnah.

“Tolonglah, kalau tiada perkara baik untuk ditulis, lebih baik diam. Jangan sampai ke tahap ini,” katanya lagi.

Kenyataan tersebut dibuat sebagai respon terhadap komen seorang individu yang mendakwa Uqasha melahirkan anak bukan darah daging Kamal, malah menuduh aktor berkenaan sengaja berdiam diri kononnya bagi menutup aib.

“Entah-entah anak orang lain yang dikandung tetapi Kamal menutup maruahnya dengan tak memberi kenyataan apa-apa pun,” tulis individu terbabit.

Untuk rekod, Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.

Bagaimanapun, pada 1 Oktober lalu, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur atas alasan tiada persefahaman serta masalah rumah tangga yang didakwa berlaku sejak April 2025.

Related post

Leave a Reply