Kerja 18 Jam Sehari Setiap Hari, Wanita Ini Mampu Beli Kondominium Harga Hampir RM3.1 Juta Pada Usia 26

Kerja 18 Jam Sehari Setiap Hari, Wanita Ini Mampu Beli Kondominium Harga Hampir RM3.1 Juta Pada Usia 26

Seorang wanita dari Singapura mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas memuat naik sebuah video tentang pencapaiannya membeli sebuah kondominium hampir bernilai 1 juta dolar (RM3.1 juta) pada usia 26 tahun.

Menerusi video yang dikongsikan, Chris, yang merupakan seorang penerbit dan pencipta kandungan menjelaskan yang pembelian tersebut merupakan satu impian yang menjadi kenyataan.

“Saya sentiasa berazam untuk memiliki rumah sendiri, harta sendiri, sebelum mencecah usia 27 tahun. Dan pada penghujung 2025, saya berjaya lakukannya,” katanya.

Chris mendedahkan yang dia membeli hartanah tersebut sepenuhnya dengan usaha sendiri, termasuk bayaran pendahuluan sekitar 240,000 dolar (RM759,470) yang dibayar secara tunai.

Menariknya, Chris berkata, keluarganya langsung tidak mengetahui mengenai pembelian itu dan hanya mengetahuinya pada hari dia mengambil kunci rumah tersebut. Buat masa ini, Chris masih bujang.

Dalam temu bual bersama Mothership, Chris berkata dia telah mula menyimpan wang sejak usia muda. Pekerjaan pertamanya adalah di restoran makanan segera McDonald’s ketika berusia 14 tahun, dan sejak itu dia sentiasa mengimbangi kerja dan pelajaran.

Kini, dia bekerja sebagai freelancer dalam bidang foto dan video, selain mempunyai pekerjaan sepenuh masa. Menurutnya, dia bekerja sekitar 12 hingga 18 jam sehari, hampir tujuh hari seminggu.

“Saya malah bekerja ketika sedang bersenam di gim,” katanya secara berseloroh.

Chris turut mengamalkan gaya hidup berjimat cermat yang sangat ketat, dengan merekod setiap perbelanjaan hingga ke sen terakhir. Dari segi hobi dan makanan, dia membeli makanan bajet berharga 3 dolar (RM9.49) serta menebus kredit EZ-Link melalui aplikasi Healthy 365.

Selain itu, dia juga mula melabur sejak berusia sekitar 19 tahun.

“Hakikatnya, saya cuma bermula awal dan mempunyai masa di pihak saya untuk membina simpanan.

“Saya mendambakan keselamatan dan kestabilan, dan ibu saya sentiasa menanamkan nilai berdikari dalam diri saya. Memiliki aset di Singapura membuatkan saya berasa selamat,” tutup Chris.

Related post

Leave a Reply