‘Pak Cik Hantar Tong Gas Kata Kedai Tutup, Sedangkan Operasi Setiap Hari’
Penyanyi, Shiha Zikir, 38, tidak menolak kewujudan gangguan mistik yang sering dikaitkan dengan perniagaan makanan, namun menegaskan perkara itu bukan faktor penutupan restoran nasi ayam miliknya di Shah Alam, baru-baru ini.
Pemilik nama sebenar Nurshiha Mohd Zikir, berkata pengalaman tersebut membuka matanya terhadap realiti dunia perniagaan yang penuh dengan pelbagai ujian, termasuk perkara di luar jangkaan.
“Saya rasa hampir semua peniaga pernah melalui situasi begini. Kalau bukan semua, kebanyakannya. Cuma secara jujur, saya pelik kenapa ada pihak sanggup melakukan perkara sedemikian.
“Orang selalu kata rambut sama hitam, hati lain-lain. Dulu saya sukar percaya, tapi bila ia berlaku pada diri sendiri, barulah saya faham. Namun saya ingin tegaskan, saya tidak pernah mengatakan kedai saya tutup kerana sihir,” katanya.
Tambah Shiha, keputusan menutup cawangan tersebut dibuat atas kelemahan dirinya sendiri dalam menguruskan perniagaan, bukannya disebabkan faktor mistik.
“Bagi saya, penutupan ini berlaku kerana kekurangan diri saya sendiri dalam mengendalikan perniagaan,” jelasnya.
Dalam masa sama, Shiha mengakui terdapat beberapa pengalaman pelik yang dilaluinya sepanjang menjalankan perniagaan itu, namun dia menganggapnya sebagai asam garam berniaga yang perlu ditempuh dengan hati terbuka.
“Selama ini saya hanya dengar cerita orang lain, tetapi sekarang saya sendiri mengalaminya. Ada yang beritahu nampak kedai saya tutup walaupun sebenarnya dibuka.
“Malah ada yang sudah berada di depan kedai tetapi kata kedai tutup. Pak cik yang hantar tong gas pun pernah cakap perkara sama, kata kedai tutup sedangkan kami beroperasi setiap hari,” katanya.
Bagaimanapun, Shiha menjelaskan penutupan restoran itu juga dibuat bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar kerana pulangan di lokasi berkenaan tidak mencapai sasaran.
“Daripada terus menanggung kos kerugian setiap bulan, lebih baik saya tutup dulu. Buat masa ini saya sedang mencari lokasi baharu yang lebih strategik dan lebih sesuai,” katanya.
Shiha turut meluahkan rasa terharu apabila menerima pelbagai mesej serta komen sokongan daripada orang ramai selepas pengumuman penutupan dibuat.
“Ramai yang hubungi saya dan beritahu mereka sering membuat pesanan melalui aplikasi penghantaran. Dari situ saya sedar, sebenarnya masih ramai yang menyokong perniagaan saya,” katanya.
Terdahulu, Shiha memaklumkan restoran Shiha Zikir Nasi Ayam cawangan Seksyen 7, Shah Alam secara rasmi menamatkan operasi bermula 15 Disember lalu.
