Pergi Balai Sebab MyKad Hilang, Lelaki Ini Bertindak Larikan Diri Lepas Diberitahu Dikehendaki Polis
Seorang lelaki warga Malaysia berusia 36 tahun menyangkakan urusannya di balai polis hanyalah rutin biasa apabila dia hadir untuk membuat laporan kehilangan MyKad.
Namun, situasi bertukar di luar jangkaan apabila dia berubah daripada seorang pengadu kepada suspek buruan polis selepas pihak berkuasa mendapati namanya tersenarai sebagai individu dikehendaki atas kesalahan lampau.
Memetik Harian Metro, kejadian itu berlaku di Balai Polis Pantai, Jalan Pantai Baharu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, lelaki berkenaan hadir ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kehilangan MyKad miliknya.
Chang Hook berkata, semasa semakan dijalankan oleh pegawai bertugas, lelaki tersebut didapati merupakan individu dikehendaki di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Selepas dimaklumkan mengenai perkara itu, suspek bertindak melarikan diri dari balai polis dan turut melanggar seorang pegawai polis dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, beberapa pegawai polis telah mengejar suspek yang melarikan diri sehingga ke tebing sungai berhampiran sebuah hotel sebelum berjaya diberkas.
Suspek kemudiannya mengaku menghalang tugas penjawat awam dengan melarikan diri daripada pemeriksaan dan akan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Menurut Hoo, kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur esok (18 Disember) dengan cadangan pertuduhan.
Suspek juga dijangka akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur bersama kes berkaitan dadah yang menyebabkan dia diburu sebelum ini.
