“Hanya Tuhan Berhak Mengadili Hamba-Nya”

“Hanya Tuhan Berhak Mengadili Hamba-Nya”

Pelakon Hariz Hamdan, 23, menegaskan bahawa tiada mana-mana individu berhak menjatuhkan hukuman terhadap orang lain sewenang-wenangnya.

Menurut pemilik nama lengkap Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, hal ini termasuk isu melibatkan rakannya, Hazwani Helmi, yang menerima kecaman hebat gara-gara menggunakan telefon pintar jenama Apple pada sebuah acara, baru-baru ini.

Hariz menegaskan, setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan penilaian mutlak bukanlah hak sesama manusia.

“Saya masih belum berkesempatan untuk menghubunginya kerana jadual penggambaran yang padat. Jadi, memang belum sempat berjumpa atau bertanya khabar. Namun, saya ada mendengar mengenai isu tersebut.

“Saya tidak meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak. Mungkin bagi sesetengah orang perkara itu dilihat tidak wajar, tetapi siapakah kita untuk menghukum? Hanya Tuhan yang berhak mengadili setiap hamba-Nya,” jelas Hariz.

Mengulas lanjut, Hariz memberitahu, segala perbuatan baik mahupun sebaliknya, hanya Tuhan yang berhak menentukan balasan.

“Jika dia melakukan kesilapan, biarlah Tuhan yang menentukan balasannya. Begitu juga jika kita sendiri tersilap, biarlah Tuhan yang menghukum. Kita bukan penentu mutlak antara benar atau salah,” katanya lagi.

Sebelum ini, Hazwani mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen selepas memuat naik rakaman video pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-37 (ABP37), apabila penggunaan telefon pintar keluaran Apple oleh aktivis Global Sumud Flotilla itu dikaitkan dengan dakwaan sumbangan dana kepada Israel.

Related post

Leave a Reply