TWICE Beri Amaran Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Pencerobohan Privasi

TWICE Beri Amaran Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Pencerobohan Privasi

Kumpulan K-Pop Twice memberi bayangan kemungkinan mengambil tindakan undang-undang susulan tingkah laku segelintir peminat yang menceroboh privasi mereka.

Hal tersebut dikongsikan oleh agensi Twice, JYP Entertainment menerusi satu kenyataan yang dimuat naik menerusi platform komuniti peminat rasmi FANS baru-baru ini.

“Kami telah mengesahkan beberapa kes di mana segelintir peminat menceroboh kehidupan peribadi Twice atau melakukan pendekatan berlebihan ketika luar waktu bekerja, atau sewaktu jadual tertutup yang tidak didedahkan kepada umum.

Tindakan sedemikian menyebabkan beban psikologi dan tekanan kepada para artis, selain boleh menimbulkan kesulitan besar kepada ahli kumpulan yang sedia mengendalikan jadual luar negara yang kerap,” ujar JYP Entertainment.

Kenyataan tersebut turut menyenaraikan contoh insiden yang telah dilaporkan, termasuk pengambilan gambar tanpa kebenaran semasa jadual tidak rasmi seperti percutian atau lawatan ke rumah keluarga, merakam gambar ahli keluarga atau kenalan yang bersama artis, cubaan berulang kali untuk memulakan perbualan dan menghalang pergerakan anggota kumpulan tersebut.

JYP Entertainment menegaskan yang mereka akan melakukan tindakan yang sepatutnya jika perkara sama masih berterusan.

“Sekiranya tingkah laku ini berterusan atau situasi yang membuat ahli kumpulan berasa tidak selesa, kami akan mengambil langkah-langkah perlu bagi melindungi artis kami.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan artis kami dapat meneruskan aktiviti dan berehat dalam persekitaran yang stabil. Kami sekali lagi memohon pertimbangan dan kerjasama yang matang daripada para peminat,” ujar agensi itu lagi seperti dilaporkan Allkpop.

Sementara itu, Twice masih meneruskan momentum konsert jelajah dunia mereka, This Is For, bulan depan menerusi hentian di Rogers Arena, Vancouver, Kanada yang dijadualkan berlangsung pada 10 Januari 2026.

Related post

Leave a Reply