Ibu Tunggal Malaysia Kerja Di Korea Terpaksa Tinggalkan Anak Seorang Diri Di Rumah
Seorang ibu tunggal dari Malaysia yang membawa anak lelakinya yang masih kecil ke Korea Selatan terpaksa meninggalkan anaknya seorang diri di rumah pada hujung minggu ketika dia bekerja.
Memetik Sin Chew Daily, wanita bernama Lai Yi itu hanya mampu memeriksa keadaan anak lelakinya yang ketika itu berusia tiga tahun dari jauh melalui kamera pemantauan yang dipasang di rumah.
Lai Yi tiada pilihan lain memandangkan hanya ada seorang pengasuh sahaja di kawasan itu yang perkhidmatannya hanya tersedia dari hari Isnin hingga Jumaat.
Difahamkan, Lai Yi, membawa anaknya yang berusia enam tahun itu ke Korea kerana berharap dapat memberikan masa depan yang lebih baik kepada buah hatinya.
Menurut Guang Ming Daily pula, Lai Yi membuat keputusan sukar untuk meninggalkan anaknya di rumah kerana tiada siapa lagi yang boleh diharapkan, selain tidak semua syarikat membenarkan pekerja membawa anak ke tempat kerja.
“Kalau diberi pilihan, tiada siapa yang mahu meninggalkan anak berumur tiga tahun seorang diri di rumah dari pagi hingga petang,” kata Lai Yi.
Dia menambah, walaupun mampu menghadapi kehidupan paling sukar, yang paling menyakitkan adalah memikirkan anaknya tinggal berseorangan tanpa pengawasan orang dewasa.
Dalam pada itu, memetik Sin Chew Daily, Lai Yi berkata anaknya hampir tidak pernah menangis kerana belajar menjadi berdikari sejak awal walaupun usianya masih muda.
Dia menambah, kekuatan dan pemahaman anaknya itulah yang membantunya bangkit dari hampir rebah setiap kali dan terus menghadapi beban kehidupan.
Untuk memberikan ketenangan kepada anaknya, Lai Yi akan menyediakan makanan sebelum berangkat kerja setiap hari. Dia juga akan makan tengah hari bersama anaknya melalui panggilan video untuk mengubat rasa rindu kerana tidak dapat bersama secara fizikal.
Seiring peningkatan keadaan hidupnya, Lai Yi berkata impian terbesarnya kini adalah untuk menebus masa yang telah hilang sebelum ini.
“Sekarang, saya lebih suka duduk di rumah bersama dia pada hujung minggu,” katanya.
