Linda Hashim Dakwa Beego Guna Alasan Kematian, Hakim Keluarkan Amaran Keras

Linda Hashim Dakwa Beego Guna Alasan Kematian, Hakim Keluarkan Amaran Keras

Pelakon, Linda Hashim, 41, mendakwa suaminya, aktor Beego menjadikan kematian ahli keluarga sebagai alasan untuk tidak hadir ke prosiding kes perceraian mereka di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, pada Selasa.

Pemilik nama sebenar Norhazlinda Hashim, berkata, pengurusan jenazah arwah ibu saudara Beego telah pun selesai sehari lebih awal dan mendakwa mengetahui keberadaan suaminya.

“Saya ada bukti dia dekat mana sebab dia sendiri beritahu saya. Dia tidak hadir pun pengebumian arwah mak cik dia pada Isnin. Dia juga tidak datang ke majlis kematian itu.

“Dia hanya menggunakan alasan ada kematian. Tapi tak mengapa, Allah Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Saya serahkan sepenuhnya pada Allah untuk atur perjalanan hidup saya hingga ke pengakhiran yang baik, insya-Allah,” katanya.

Dalam masa sama, Linda turut mendakwa tindakan Beego melengah-lengahkan kes perceraian mereka adalah kerana mahu melihat terlebih dahulu tuntutan nafkah yang akan difailkan.

“Saya baru tahu daripada peguam defendan kenapa dia tidak mahu lepaskan saya. Katanya, dia mahu lihat dulu tuntutan nafkah yang saya failkan, termasuk nafkah idah, nafkah anak-anak dan perkara berkaitan kewangan.

“Kalau dia bersetuju, dia akan lepaskan. Kalau tidak, dia akan gantung atau tangguhkan kes ini. Dia gunakan kuasa sebagai suami untuk tahan selagi tidak tahu jumlah yang diminta.

“Sedangkan buat masa sekarang, saya langsung tidak fokus tentang nafkah. Saya cuma mahu bercerai. Tapi dia pula sibuk soal duit,” jelasnya.

Menurut Linda, sikap suaminya yang tidak konsisten turut mengelirukan proses perbicaraan apabila sekejap bersetuju untuk bercerai dan sekejap menolak.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Tuan Fareq Azmi, memberikan amaran keras kepada Beego susulan kegagalannya hadir ke mahkamah buat kali ketiga.

Peguam Linda, Nurul Fadzilah Kamaluddin berkata, ketidakhadiran defendan menyebabkan proses penyerahan saman dan pengesahan lafaz taklik tidak dapat dilaksanakan.

“Sepanjang saya mengendalikan kes ini, pihak defendan tidak pernah mengemukakan sebarang bukti seperti sijil cuti sakit atau sijil kematian. Ini kali ketiga dia gagal hadir.

“Hakim memberi amaran keras pertama dan turut mengarahkan agar pihak defendan serta peguamnya diwajibkan hadir pada prosiding akan datang. Mahkamah juga memberikan satu lagi peluang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, peguam yang mewakili Beego, Muhammad Akmal Amzan memaklumkan anak guamnya tidak dapat hadir berikutan kematian ahli keluarga terdekat di Johor.

Menurutnya, Beego bukan enggan memberikan kerjasama, sebaliknya masih berusaha memujuk dan mencari jalan perdamaian, namun mengakui situasi kebelakangan ini semakin sukar.

“Perbincangan dengan anak guam masih belum sampai ke tahap persetujuan untuk bercerai. Dia masih berharap dapat menyelesaikan masalah secara baik, namun jika tiada jalan penyelesaian, perkara ini perlu ditangani dengan sebaiknya,” katanya.

Untuk rekod, rumah tangga Linda dan Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, mula menjadi perhatian sejak Januari lalu apabila Linda memfailkan perceraian atas alasan tiada lagi persefahaman.

Pasangan itu pernah bercerai pada 27 Mac 2023 sebelum rujuk semula pada 9 April 2023 dan membatalkan tuntutan nafkah serta hak penjagaan anak. Bagaimanapun, Linda mendakwa mereka berpisah sekali lagi selepas beberapa bulan sebelum kembali bersama tidak lama kemudian.

Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6 tahun.

Related post

Leave a Reply