Haiza Sedia Tunaikan Manifesto ‘Tumbang’ Lembu
Penyanyi, Haiza bersedia menunaikan janjinya kepada peminat dengan merancang satu ‘kenduri rakyat’ susulan kejayaannya meraih trofi Penyampai Radio Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-37 (ABPBH37), baru-baru ini.
Haiza berkata, hasrat mengadakan majlis itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang tidak pernah jemu memberikan sokongan dan mengundinya sehingga dia berjaya memenangi kategori berkenaan.
“Biasalah orang berkempenkan, berjanji macam-macam. Jangan makan diri, risau juga ni.
“Saya ada cakap nak tumbang lembu atau kambing. Cuma tumbang itu maksudnya apa? Tolak jatuh ataupun memang betul-betul kita kena korbankan?
“Apa pun, insya-Allah, doakanlah ada rezeki, kita akan berkumpul ramai-ramai untuk kenduri rakyat itu,” katanya.
Dalam pada itu, pelantun lagu Dag Dig Dug itu turut mengakui masih tidak menyangka namanya diumumkan sebagai pemenang bagi kategori tersebut.
“Demi Allah sebenarnya tak sangka anugerah ini untuk saya sebab ada lagi yang lebih layak dan berpengalaman daripada saya.
“Saya pesan pada peminat jangan berhabis duit sebab takut tak dapat bagi apa-apa untuk mereka.
“Kemenangan ini bukan kepunyaan saya seorang tapi milik bersama termasuk radio Kool FM yang saya naungi,” jelasnya lagi.
Kejayaan itu menyaksikan Haiza berjaya mengetepikan saingan daripada beberapa nama popular lain iaitu DJ Lin, DJ Sonic, Cik Piah dan AG, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya dalam dunia penyiaran radio.
