Michelle Yeoh Pinjam Suara Untuk Watak Lady Yin Dalam Filem Ne Zha II Versi Inggeris

Michelle Yeoh Pinjam Suara Untuk Watak Lady Yin Dalam Filem Ne Zha II Versi Inggeris

Filem animasi epik dari China, “Ne Zha II”, kini memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS) dengan versi alih suara bahasa Inggeris yang menampilkan pelakon bertaraf Oscar, Michelle Yeoh.

Versi baharu ini mula ditayangkan di lebih 2,500 pawagam di Amerika Utara pada 22 Ogos, hasil kerjasama antara studio A24 dan CMC Pictures.

Yeoh meminjamkan suaranya sebagai Lady Yin, ibu kepada watak utama Ne Zha – seorang kanak-kanak demigod dengan kuasa luar biasa yang berjuang menentang takdir demi menyelamatkan rakan-rakan dan kampung halamannya.

“Saya terus jawab ‘sudah tentu ya’ bila ditawarkan untuk jadi suara Lady Yin,” kata Yeoh dalam temu bual bersama Associated Press.

Beliau turut menyifatkan filem itu sebagai jambatan budaya penting yang menghubungkan Timur dan Barat.

Diadaptasi daripada mitologi klasik China dan novel Investiture of the Gods, Ne Zha II menampilkan gaya penceritaan moden dengan visual yang setanding filem Marvel.

Proses pembikinannya mengambil masa lima tahun, membabitkan lebih 4,000 animator daripada 138 syarikat animasi China, menghasilkan 2,400 babak animasi serta 1,900 kesan khas.

Yeoh juga memuji usaha penterjemahan yang mengekalkan keindahan bahasa asal sambil memudahkan penonton antarabangsa memahami mesejnya.

“Filem ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga kisah tentang keluarga, kasih sayang, dan perjuangan individu yang dilabel berbeza,” tambahnya.

Sebelum ini, Ne Zha II pernah ditayangkan di AS dalam versi sarikata dan meraih kutipan lebih AS$20 juta (RM84.5 juta). Namun, versi alih suara dijangka mampu menarik lebih ramai penonton dari pelbagai latar budaya.

Dengan kutipan lebih AS$2.2 bilion (RM9.3 bilion), Ne Zha II kini memegang gelaran sebagai filem animasi paling laris sepanjang zaman.



Related post

Leave a Reply