
Seorang lelaki di China yang tinggal di tingkat 40 di sebuah apartment yang sangat popular di Hangzhou dilaporkan menjual kediamannya selepas terpaksa menunggu lif hampir 20 minit setiap hari.
Menurut laporan Sin Chew Daily, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Ma menjual apartment tersebut pada harga rugi kerana bimbang kualiti hidupnya terjejas.
Situasi ini timbul selepas Ma berjaya memiliki unit di hartanah berkenaan, yang sebelum itu menyaksikan puluhan ribu individu bersaing untuk membelinya menerusi sistem cabutan undi, lapor New Tang Dynasty Television.
Keluarga Ma pada mulanya sangat teruja dan berasa bertuah kerana Ma berjaya memiliki apartment popular tersebut.
Justeru, mereka tidak memahami keputusannya untuk menjual rumah itu kerana merasakan ia satu kerugian besar melepaskan unit yang diperoleh secara ‘bertuah’ melalui sistem undian berkenaan.
Selain itu, mereka juga dilaporkan sukar mendapatkan apartment lain pada harga yang berpatutan.
Namun begitu, Ma tetap bertegas dan meneruskan penjualan unit tersebut.
“Saya tidak mahu terus membuang masa dan saya tidak akan lagi memburu hartanah popular secara membuta tuli pada masa akan datang,” katanya..
Wartawan tempatan yang mengunjungi hartanah berkenaan mendapati, pada pukul 6 petang, keseluruhan proses daripada menunggu sehingga tiba di tingkat 40 mengambil masa tidak lebih daripada dua minit kerana tiada orang lain yang menunggu lif, menurut laporan i.ifeng.com.
Perjalanan turun juga dilaporkan lancar dan hanya mengambil masa kira-kira satu minit.
Selain itu, mirrormedia.mg melaporkan beberapa penduduk yang ditemui wartawan mempunyai pengalaman berbeza berkaitan tempoh menunggu lif.
Seorang penduduk yang tinggal berhampiran tingkat 20 berkata, masa menunggu lif hanya lebih lama ketika waktu puncak antara pukul 7 hingga 8 pagi.
“Kebiasaannya, ia hanya mengambil masa satu atau dua minit, dengan sekitar tiga atau empat hentian di pertengahan jalan,” katanya.



