Akhiri Kamu Satukan Bella Astillah, Daniesh Suffian

Akhiri Kamu Satukan Bella Astillah, Daniesh Suffian

Kedua-dua mereka mempunyai kisah tersendiri. Jika Bella Astillah melalui pasang surut cabaran dalam kehidupan peribadi, Daniesh Suffian pula sedang mencuba nasib menempatkan diri sebagai penyanyi disegani.

Tidak lelah mencuba, Bella dan Daniesh bergabung tenaga dalam single duet terbaharu Akhirnya Kamu, sebuah lagu yang membawa mesej kebahagiaan, ketulusan dan kesabaran dalam menempuhi kehidupan serta percintaan.

Lagu ini merupakan hasil kolaborasi kreatif antara Bella dan Daniesh bersama Azlan Abu Hassan dan Omar K yang turut memainkan peranan penting dalam menghasilkan karya yang indah dan penuh emosi ini.

Menurut Bella Astillah, Akhirnya Kamu mempunyai makna yang sangat mendalam dalam kehidupannya. 

“Lagu ini memberi impak besar dalam hidup saya kerana seolah-olah sebahagian diri saya dizahirkan melalui lagu ini. Ia juga menjadi lagu manis saya sendiri, sebagai tanda penghargaan buat peminat yang sering minta saya bawakan lagu yang membahagiakan,” katanya.

Bella menjelaskan bahawa proses rakaman dan kerjasama dengan Daniesh sangat mudah.

Daniesh memahami suara dan cita rasanya dan mereka bekerjasama secara profesional untuk memastikan hasil akhirnya terbaik dan sangat berpuas hati dengan keputusan akhir.

Tentang mesej lagu ini, Bella menambah bahawa Akhirnya Kamu membawa tema kesabaran dalam kehidupan. 

“Hidup tidak selamanya sedih. Sama ada sesuatu itu datang cepat atau lambat, sebab itu kesabaran itu penting. Kebahagiaan akan bermula apabila kita percaya setiap ujian adalah cara untuk jadikan kita lebih kuat dan membuka ruang kepada orang yang betul untuk hadir dalam hidup kita,” katanya.

Kali ini, Bella Astillah mengambil langkah untuk keluar daripada zon selesanya. Meskipun beliau lebih dikenali menerusi lagu-lagu yang penuh emosi, lagu ini membawa kelainan.

“Kebiasaannyasaya nyanyi lagu yang fierce, tapi ramai peminat minta lagu yang happy dan sweet. Jadi lagu ini memang saya tujukan untuk mereka,” jelasnya.

Sementara itu, Daniesh mendedahkan bahawa idea untuk menghasilkan lagu ini tercetus daripada permintaan para peminat yang mahukan lagu duet rasmi antara mereka berdua.

“Sebelum ini kami banyak buat cover lagu, jadi ramai yang minta kami keluarkan lagu bersama. Dari situ, idea Akhirnya Kamu mula berkembang,” jelas Daniesh.

Tambahnya lagi, dalam salah satu sesi siaran langsung di TikTok, beliau berkongsi bahawa lagu ini ditulis ketika Bella melalui detik paling sukar dalam hidupnya. 

Daniesh menjelaskan bahawa tujuan utama penulisan lagu ini adalah untuk memberi semangat, sokongan dan sedikit keceriaan buat Bella agar terus kuat menghadapi segala cabaran yang datang.

Bagi Daniesh, pengalaman menghasilkan muzik video untuk lagu ini juga sangat bermakna.

“Rakaman video muzik (MV) ini sangat menyeronokkan, lokasi yang cantik, setiap babak pun menjadi dan pasukan produksi profesional. Semua itu buat hasil akhir melebihi jangkaan saya,” tegasnya.

Mengenai jalan cerita MV Akhirnya Kamu, Daniesh menjelaskan, ia mengisahkan dua individu yang pernah terluka dan menutup pintu hati selepas pengalaman cinta lalu. 

Namun, pertemuan pertama mereka kali ini menghadirkan rasa yang berbeza, seolah-olah inilah cinta sebenar yang mereka cari selama ini.

Lagu bukan sekadar lagu cinta, tetapi juga simbol kekuatan, harapan dan penghargaan terhadap perjalanan hidup. Ia menggambarkan bahawa setiap luka dan kesabaran akan akhirnya membawa kepada sinar yang dinanti.

Akhirnya Kamu sudah dilancarkan secara rasmi pada 6 Oktober lalu dan MV boleh tonton menerusi YouTube rasmi Universal Music Malaysia.

Related post

Leave a Reply