Sambut Ulang Tahun Ke-21, Kotak Bakal Hibur Peminat Di KL

Dua dekad mengembara sebagai sebuah band berpengaruh sememangnya memberikan kelebihan kepada kumpulan untuk terus melangkah jauh. Pelbagai ranjau dan onak duri telah mereka hadapi untuk meletakkan nama Kotak sebaris dengan nama besar yang lain.

Perjuangan tanpa lelah Tantri Syalindri Ichlasari, Swasti Sabdastantri dan Mario Marcella sebetulnya mencipta pelbagai kejayaan dalam industri muzik Indonesia dan negara serantau.

Maka, akhirnya kumpulan rock ini bakal meraikan ulang tahun ke-21 mereka dengan konsert istimewa Road to 21st Anniversary KOTAK x Arda Hatna di Zepp Kuala Lumpur pada 21 September ini.

“Kami sudah tidak sabar untuk menghiburkan peminat di Kuala Lumpur. Ada banyak hal yang ingin kami sampaikan lewat persembahan itu nanti.

“Persembahan nanti pasti berbeza dari konsert sebelum ini kerana ia bukan sahaja menyambut ulang tahun Kotak tetapi ia juga menjadi momen yang sungguh bermakna apabila saya akan digandingkan bersama suami yang tercinta dalam satu pentas yang sama bersama-sama peminat.”

“Ingatan kami kepada kalian tidak pernah ‘Hilang’. Semoga kita saling ‘Selalu Cinta’ dan sampai jumpa di Kuala Lumpur. Long Live Kotak,” ujar Tantri mewakili rakan-rakan yang lain.

Menyorot kembali perjalanan seni Kotak, keanggotaan ahli mereka silih berganti namun ‘signature’ khas mereka tetap sama dan sering dinanti-nantikan oleh peminat yang menggelarkan diri mereka sebagai Kerabat Kotak.

Kekuatan yang ada pada mereka inilah yang berjaya membawa Kotak melewati masa sukar mahupun senang sehingga mampu bertahan selama 21 tahun.

Dibawakan khas oleh GemaWave yang juga merupakan platform muzik rentas genre, konsert yang dianjurkan oleh syarikat pengurusan acara, Boomset Planning yang membawa peminat mengimbau kembali masa pada saat awal penubuhan band ini pada tahun 2004.

Menurut Syira Yusof wakil dari Boomset Planning, mereka mahu membawakan kelainan untuk terus diingati oleh penggemar yang hadir nanti.

“Ini bukan sekadar konsert, ia adalah penghormatan kepada era muzik yang membentuk sebahagian besar daripada kita. Kami mahu bawa semangat itu kembali hidup dalam suasana intim dan penuh bermakna.”

“GemaWave merupakan satu platform entertainment dan konsert KOTAK x Arda Hatna menjadi pilhan pertama kami untuk menganjurkannya,” ujar Syira Yusof.

Boomset Planning juga memberi bonus kepada peminat kerana tidak mahu menampilkan sebuah lagi persembahan Kotak yang ‘begitu-begitu sahaja’.

Kotak akan ditemani sang legenda, Arda Hatna yang merupakan suami kepada vokalis Kotak dan merupakan vokalis Naff yang telah menemani peminat dengan banyak lagu hitnya seperti Terendap Laraku, Kau Masih Kekasihku dan Akhirnya Ku Menemukanmu.

Lelaki ini juga punya karya peribadi yang dirilis tahun lalu iaitu Orang Tak Enakkan dan Pelabuhan Terakhir yang tidak kurang mendapat perhatian pada tahun ini.

“Dengan kolaborasi Kotak dan Arda Hatna, keraian Road To 21st Anniversary KOTAK x Arda Hatna akan menjadi sebuah momen luar biasa yang tidak akan dilupakan peminat,” tambah Syira lagi.

Harga tiket untuk menyaksikan konsert ini jual dengan harga RM198, RM218, RM248 dan RM3,888 (1 box) dan boleh dibeli melalui atas talian.

Related post

Leave a Reply