
5 Tahun Ni-Ki ENHYPEN Tak Balik Kampung, Agensi BELIFT LAB Dikecam
BELIFT LAB berdepan kecaman hebat daripada peminat selepas pendedahan menyayat hati anggota kumpulan ENHYPEN, Ni-Ki dalam satu siaran langsung baru-baru ini.
Menerusi siaran langsung di Weverse, Ni-Ki mendedahkan yang dia tidak berpeluang pulang ke rumah sejak sebelum menyertai I-LAND, rancangan realiti yang membentuk ENHYPEN.
Ni-Ki berkata, disebabkan sudah terlalu lama dia tidak pulang, dia sendiri tidak pasti sama ada biliknya di rumah masih wujud atau tidak.
Bagaimanapun, bapanya segera memberikan respon di media sosial dengan memuat naik gambar anjing peliharaan Ni-Ki, Bisco, berserta kapsyen yang menyentuh hati menyebut biliknya masih ada dan ‘menanti’ kepulangannya.
Tidak mengejutkan, pendedahan Ni-Ki ini mencetuskan kemarahan besar. Peminat kini menuduh BELIFT LAB melakukan ‘pengabaian’ terhadap artis mereka, selain kumpulan itu terlalu dibebani kerja sehingga tidak diberi masa untuk pulang.
Program I-LAND disiarkan dari Jun hingga September 2020, ketika Ni-Ki baru berusia 14 tahun. Sebelum itu, Ni-Ki telah berpindah dari Jepun ke Korea Selatan seorang diri pada Ogos 2019 untuk menjadi pelatih BELIFT LAB pada usia 13 tahun.
Hal ini bermakna, sudah sekitar lima hingga enam tahun bintang itu tidak pulang ke rumah keluarganya di Jepun.
Ni-Ki pernah beberapa kali ke Jepun bersama ENHYPEN bagi menjayakan konsert dan acara, yang membuatkan peminat semakin kecewa.
Walaupun Ni-Ki, yang kini berusia 19 tahun, pernah dilihat berjumpa ahli keluarganya semasa aktivitinya di Jepun, nampaknya dia masih tidak diberikan masa yang cukup untuk pulang ke rumah sendiri.
Peminat sebelum ini pernah menyaksikan kesan emosi daripada perpisahan ini pada tahun 2021, apabila Ni-Ki menangis teresak-esak ketika fanmeeting EN-CONNECT: Companion kerana terlalu merindui keluarganya.
Kecaman ini hadir hanya beberapa minggu selepas HYBE Labels (syarikat induk) turut dikritik susulan kenyataan Soobin daripada Tomorrow X Together yang mendedahkan dia pernah mengalami penderaan fizikal ketika menjadi pelatih BIGHIT Music semasa di sekolah menengah.