4 Kali Masuk Wad Dalam Sebulan, Ebby Yus Ulang-Alik Hospital Ambil Antibiotik

4 Kali Masuk Wad Dalam Sebulan, Ebby Yus Ulang-Alik Hospital Ambil Antibiotik

Pelawak veteran, Ebby Yus, 60, kini berada dalam keadaan kesihatan yang lebih baik selepas dibenarkan keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini, susulan rawatan akibat jangkitan kuman yang dialaminya.

Menurut pemilik nama sebenar Muhammad Yunus Abdul Rashid, masalah kesihatan menyebabkan dirinya kerap berulang-alik ke hospital sejak kebelakangan ini, namun keadaan fizikalnya kini menunjukkan perkembangan positif.

“Saya baru sahaja keluar hospital. Jangkitan itu berlaku ketika saya menjalani rawatan dialisis di rumah. Memang sejak kebelakangan ini kerap juga masuk hospital, tetapi kali ini saya ditahan selama empat hari,” katanya.

Ebby turut mendedahkan dalam tempoh sebulan sahaja, dia sudah beberapa kali mendapatkan rawatan susulan akibat komplikasi kesihatan yang dihadapinya.

“Bulan ini (Disember) saja sudah empat kali ulang-alik ke hospital. Sekarang alhamdulillah saya rasa lebih stabil dan sudah boleh buat sedikit aktiviti. Sebelum ini, nak berjalan pun rasa berpinar dan macam nak jatuh.

“Doktor sebenarnya mahu saya dirawat sepenuhnya di hospital selama 14 hari, tetapi keadaan fizikal tidak mengizinkan. Jadi saya datang setiap hari untuk ambil antibiotik,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Ebby menjelaskan dia perlu menjalani rawatan dialisis setiap hari yang dilakukannya sendiri di rumah, selain berdepan masalah kesihatan lain termasuk penyakit jantung yang mengehadkan pergerakan hariannya.

Keadaan itu secara tidak langsung memaksanya memperlahankan langkah dalam dunia seni, malah mengakui sudah lebih setahun tidak menerima sebarang tawaran lakonan.

“Sudah lama saya berehat daripada berlakon. Saya tak mahu menyusahkan orang lain. Bekerja di bawah panas memang tidak mampu dan kalau sehari ada beberapa babak pun saya cepat penat.

“Saya perlu kejar masa untuk rawatan dialisis. Jadi buat masa ini, saya utamakan kesihatan dulu,” jelasnya.

Walaupun sering keluar masuk hospital, Ebby menganggap perkara tersebut sebagai sebahagian daripada realiti hidupnya kini.

“Bagi orang seperti saya, ulang-alik hospital sudah jadi rutin. Jadi jangan terlalu risau, doakan sahaja agar saya terus diberi kesihatan dan masih mampu mencari rezeki,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Related post

Leave a Reply