2 Tahun Beroperasi, Kedai Nasi Ayam Shiha Zikir Berhenti Operasi
Penyanyi, Shiha Zikir memaklumkan restoran miliknya, Shiha Zikir Nasi Ayam di Seksyen 7, Shah Alam, kini telah ditutup secara rasmi selepas hampir dua tahun beroperasi.
Shiha mengakui keputusan tersebut dibuat dengan penuh pertimbangan dan bukan sesuatu yang mudah.
Menerusi perkongsian di platform Threads, dia memaklumkan bahawa cawangan Shah Alam menamatkan operasi bermula 15 Disember.
“Dengan hati yang berat, saya ingin memaklumkan bahawa Restoran Shiha Zikir Nasi Ayam cawangan Shah Alam telah menamatkan operasi bermula 15 Disember”, katanya.
Bagaimanapun, Shiha menegaskan orang ramai tidak perlu bimbang kerana cawangan di Wisma Infinitum, Kampung Baru, Kuala Lumpur masih beroperasi seperti biasa dan terus menerima pelanggan.
Menurutnya, walaupun berat untuk membuat keputusan itu, dia percaya langkah berkenaan adalah yang terbaik buat dirinya dan perniagaan pada masa ini.
Dalam pada itu, Shiha turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pelanggan yang setia menyokong restorannya sepanjang hampir dua tahun beroperasi di Shah Alam.
Katanya, setiap kunjungan, sokongan dan doa yang diberikan amat dihargai sepenuh hati.
“Kalau teringat atau rindu, bolehlah singgah makan di cawangan Kampung Baru,” katanya lagi.
Terdahulu, Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir membuka restoran nasi ayam tersebut pada Jun 2024.
Sebelum ini, dia juga pernah berkongsi bahawa kedainya pernah berdepan gangguan ilmu hitam sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan orang ramai yang menyangka perniagaan itu telah ditutup.
