
Tidak gentar dengan badai yang melanda, Wings membuktikan penguasaan mereka apabila mengumumkan bakal mengadakan konsert Orang Kita Tidak lama lagi.
Meskipun berhadapan dengan ujian dan rintangan pada tahun lalu, Datuk Awie sekali vokalis memberi isyarat bahawasanya Wings tetap akan terbang tinggi seperti mana yang diharapkan sebahagian besar peminat.
Meneruskan momentum, Rumah Produksi Merah sekali penganjur mempersembahkan Wings Orang Kita, sebuah konsert khas yangmenghimpunkan legasi, semangat dan pembaharuan daripada kumpulan legenda rock tanah air, Wings.
Konsert ini bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Januari ini, menjanjikan sebuah malam penuh emosi dan pengalaman muzik yang bermakna buat para peminat.
Dengan kehadiran ahli baharu terdiri daripada Pae dan Arm dalam kumpulan, Wings kini melangkah ke arah dan konsep
baharu, selari dengan evolusi muzik mereka yang lebih segar dan relevan, tanpa meninggalkan identiti asal yang menjadi kekuatan Wings sejak dahulu.
Aura baharu ini membawa nafas segar kepada persembahan Wings, memperlihatkan gabungan tenaga lama dan semangat baharu yang lebih matang serta bertenaga.
Kemasukan Pae dan Arm ini sebetulnya menandakan permulaan fasa baharu buat Wings, di mana kumpulan ini bakal memperkenalkan idea-idea muzik yang lebih fresh dan dinamik.
Seiring dengan perkembangan tersebut, Wings juga dalam perancangan untuk menghasilkan dan melancarkan lagu-lagu baharu, sekali gus memberi nafas baharu kepada perjalanan seni mereka.

Konsert Wings Orang Kita dianjurkan sebagai satu penghargaan khas buat para peminat setia. Ia bukan sahaja memberi peluang kepada peminat yang terlepas menyaksikan konsert Wings 40 Tahun tempoh hari, malah sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang telah hadir dan menyokong konsert bersejarah tersebut.
Persembahan ini diraikan sebagai simbol hubungan erat antara Wings dan peminat yang sentiasa berdiri bersama mereka sepanjang perjalanan karier.
Menariknya, konsert ini turut menjanjikan beberapa elemen kejutan istimewa yang disediakan khas buat para peminat, sebagai pengalaman eksklusif yang hanya dapat dirasai secara langsung pada malam konsert Wings Orang Kita kelak.
Walaupun melalui perubahan barisan ahli, semangat Wings kekal tidak pernah patah. Jiwa, tenaga dan roh Wings masih utuh, dipacu oleh kecintaan terhadap muzik serta sokongan padu daripada peminat.
Wings turut mengalu-alukan kehadiran ahli-ahli baharu sebagai sebahagian daripada keluarga Wings, yang akan bersama-sama membawa kumpulan ini ke tahap seterusnya.
Bagi peminat yang ingin turut serta, harga tiket dijual dengan harga RM148, RM178, RM358, RM428 dan RM8,800 untuk VIP Box.



