
Wanita Ini Terkejut Bil Nasi Kandar Cecah RM230 di Bukit Bintang
Seorang wanita baru-baru ini berkongsi di Threads tentang pengalaman di sebuah restoran nasi kandar terkenal di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Menurut perkongsiannya, dia bersama tiga orang rakan makan di restoran tersebut pada hujung minggu lalu, hanya dengan memesan hidangan yang dianggap ‘biasa’.
Wanita itu mendedahkan bahawa kumpulan mereka yang seramai empat orang memesan nasi dengan ayam masak merah, sedikit sayur, bawang goreng, telur serta tiga gelas teh limau ais.
Namun, jumlah bil yang diterima mencecah RM230.
“Ini bukan gurauan. RM230 untuk mamak tanpa sebarang makanan laut.
“Saya bukanlah jenis yang suka merungut tentang harga makanan, tapi kali ini memang mengejutkan sampai sekarang. Hati-hati kalau nak ambil makanan laut di sini. Silap-silap boleh kena serangan jantung,” katanya.
Seorang netizen mengira harga tersebut bersamaan RM57.50 seorang dan meninggalkan komen: “Itu memang rompakkan di siang hari. Kalau masih ada resit, mungkin boleh buat aduan kepada KPDN,” tulis netizen.
Wanita itu membalas: “Sebab itulah saya terkejut! Saya faham kalau ada makanan laut, tapi ini hanyalah pesanan asas yang saya selalu makan di nasi kandar lain.
“Rasanya macam kena rompak pelancong, mungkin sebab mereka ingat kami pelancong. Tapi ini memang tak betul,” balas wanita itu.
Dia turut menjelaskan di ruangan komen bahawa sebelum ini dia pernah makan di cawangan lain dan tidak pernah berdepan harga sebegitu.
“Saya faham kalau lamb shank dan menu premium lain harganya lebih tinggi. Kami pun biasa pesan di tempat lain. Tapi ini pesanan asas sahaja. Siapa sangka harganya macam itu? Ini nasi kandar biasa. Saya pelanggan tetap di cawangan lain tapi perkara ini tak pernah berlaku,” katanya.