
Gara-gara menggunakan MyKid anak sendiri untuk meminjam duit, seorang lelaki dan bekas isteri menerima gangguan daripada Ah Long.
Lebih memburukkan keadaan, mereka turut menerima ugutan termasuk perbuatan vandalisme seperti simbahan cat merah di rumah si isteri.
Menurut laporan China Press, lelaki berusia 25 tahun itu meminjam RM1,500 daripada Ah Long dan menggunakan identiti anak perempuannya sebagai penjamin. Lelaki itu memberi jaminan palsu yang bekas isterinya akan membayar hutang tersebut bagi pihak anak mereka.
Isteri kepada lelaki berkenaan, Chen, berkongsi kisah itu di media sosial dan menuduh bekas suaminya menyalahgunakan maklumat peribadi anak mereka untuk mendapatkan pinjaman haram.
Katanya, sejak pinjaman itu dibuat, dia dan ahli keluarganya telah dibanjiri panggilan ugutan serta mesej WhatsApp. Rumah mereka turut disimbah cat merah sebanyak dua kali, masing-masing pada 20 Disember 2025 dan 5 Januari 2026.
Menurut Chen, ugutan bermula pada 20 November 2025 apabila seorang individu tidak dikenali menelefonnya dan menuntut bayaran RM1,500, dengan mendakwa anaknya merupakan penjamin. Gangguan tersebut kemudian merebak kepada ibu bapa dan adik-beradiknya.
Chen berkata, insiden simbahan cat merah pertama disertai mesej berbunyi “Cantik atau tidak?”, bersama ugutan supaya membayar RM5,000. Selepas insiden kedua, ugutan menjadi semakin agresif, menyebabkan Chen membuat beberapa laporan polis.
Chen mendedahkan yang dia dan bekas suaminya tidak pernah mendaftarkan perkahwinan kerana lelaki itu tidak memiliki kad pengenalan akibat masalah sijil kelahiran. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan pada 2019 dan seorang anak lelaki pada 2023 sebelum berpisah dua tahun lalu.
Dia percaya bekas suaminya memperoleh maklumat MyKid anak mereka ketika dia memohon bantuan kewangan sebagai ibu tunggal, dan menyimpan maklumat tersebut sejak itu.
Chen menambah, bekas suaminya yang menganggur dan sering menghilang bergantung kepada ibu bapa angkatnya serta pendapatan dirinya untuk hidup. Dia berpindah keluar bersama anak-anak selepas mengesyaki lelaki itu berlaku curang.
Selepas berpisah, Chen mendapat tahu melalui rakan dan media sosial yang bekas suaminya mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah dan pernah ditahan beberapa kali. Namanya juga pernah didedahkan secara terbuka dalam hantaran kutipan hutang Ah Long.
Chen menggesa pihak berkuasa dan wakil rakyat tempatan untuk campur tangan, sambil berharap penyelesaian jangka panjang dapat diwujudkan bagi melindungi anak-anak serta ahli keluarganya yang sudah lanjut usia dan kini hidup dalam ketakutan.
“Mereka sering tukar nombor telefon dan akaun untuk elak disekat, malah mengintip di sekitar rumah kami. Mereka kata akan buat masalah dari hari pertama hingga hari ke-15 Tahun Baharu Cina’,” kongsi Chen.



