Gaya HidupViral

Uncle Kentang Ulas Beza Kaya Poket & Kaya Hati

Aktivis sosial, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang, baru-baru ini berkongsi satu kisah yang memperlihatkan perbezaan antara kaya harta dan kaya hati.

Dalam satu hantaran di Facebook, dia mendedahkan seorang wanita menghubunginya dalam keadaan kecewa selepas rakannya yang berharta enggan menyumbangkan kerusi roda kepada sebuah Klinik Kesihatan.

Menurut Uncle Kentang, rakan wanita tersebut merupakan seorang pengarah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Apabila diminta membantu, lelaki berkenaan dilaporkan menolak dan menyatakan bahawa penyediaan peralatan seperti itu adalah tanggungjawab kerajaan.

“Kaya poket tak semestinya kaya hati.

“Mereka lebih rela beli Musang King, Black Thorn atau Udang Merah. Mereka lebih sanggup habiskan duit minum wiski, brandi atau todi… berbelanja puluhan ribu semalam di kelab,” tulisnya.

Wanita itu berasa sedih dengan respons tersebut dan meluahkan kekecewaannya kepada Uncle Kentang.

Uncle Kentang menjelaskan, Klinik Kesihatan berkenaan merupakan antara yang terbesar di Malaysia.

Katanya, klinik itu menerima hampir 3,000 pesakit serta ahli keluarga setiap hari, termasuk ibu baharu, bayi yang baru lahir, pesakit kudung anggota badan dan wanita hamil yang sakit.

“Mereka datang dengan harapan kerusi roda tersedia untuk mereka. Ramai yang kudung. Ramai juga wanita hamil yang sakit,” katanya.

Uncle Kentang menambah, ramai pengunjung terdiri daripada golongan B40 di Kuala Lumpur, malah ada yang tidak mampu membeli peralatan perubatan asas seperti alat pengukur tekanan darah atau glukometer.

Uncle Kentang turut berkongsi bahawa bukan semua individu kaya memilih untuk menyumbang, namun ramai rakyat biasa tampil membantu secara konsisten.

“99 peratus penyumbang kami datang daripada peniaga kecil, makcik-makcik, suri rumah, orang biasa dan bukan golongan kaya atau terkenal,” tulisnya.

Dia turut memberi contoh sumbangan RM25,000 sebelum ini yang digunakan untuk membeli sebuah bot nelayan bagi seorang duda di Melaka selepas isterinya meninggal dunia akibat kanser.

Bot tersebut membolehkan lelaki dikenali sebagai Nordin itu menjadi nelayan sepenuh masa dan menyara lima orang anaknya.

Selain itu, beliau mendedahkan bahawa seorang penderma dikenali sebagai Mr Jonathan baru-baru ini berjanji untuk menyumbangkan 10 unit kerusi roda, yang akan diserahkan selepas Tahun Baharu Cina.

Uncle Kentang menggesa orang ramai agar terus menyokong hospital dan klinik kerajaan kerana setiap sumbangan amat bermakna kepada pesakit yang memerlukan.

Dia turut menggalakkan rakyat Malaysia untuk menziarahi dan memberi kata-kata semangat kepada petugas kesihatan, sambil menegaskan bahawa sokongan kolektif mampu membantu membina negara yang lebih baik.

Dia mengakhiri hantaran dengan mengingatkan bahawa bukan semua individu berharta adalah sama, dan ada juga yang menyumbang secara senyap mengikut cara masing-masing.

Related Articles

Back to top button