‘Umairah Mungkin Boleh Merealisasikan Impian Saya’ – Siti Nurhaliza

‘Umairah Mungkin Boleh Merealisasikan Impian Saya’ – Siti Nurhaliza

Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 45, menyifatkan anak saudaranya, Umairah, sebagai bakat muda yang berpotensi besar untuk melangkah lebih jauh dalam industri hiburan, bukan sahaja di tanah air malah hingga ke luar negara.

Menurut Siti, Umairah mempunyai kelebihan yang jarang dimiliki ramai, termasuk penguasaan bahasa Mandarin yang dilihat mampu membuka jalan ke pasaran lebih luas terutama di China.

“Umairah dianugerahkan bakat yang besar, malah saya lihat dia ada banyak kelebihan berbanding diri saya dahulu. Fasih berbahasa Mandarin, itu satu bonus besar yang boleh jadi kunci menembusi pasaran baharu.

“Dalam diam, saya rasa dia mungkin boleh merealisasikan impian yang pernah saya simpan dulu. Selepas menjuarai pertandingan di Shanghai, saya pernah bercita-cita mahu mengembangkan kerjaya ke China.

“Namun, kerana berkahwin, usaha itu tidak sempat diteruskan. Kini, saya harap peluang itu boleh disambung oleh Umairah,” katanya.

Menyingkap pengalamannya lebih 30 tahun bergelar anak seni, pelantun lagu Purnama Merindu itu menekankan kepentingan ketabahan dan disiplin dalam dunia hiburan yang penuh cabaran.

“Dalam seni, perkara asas ialah sabar, rajin memperbaiki kelemahan dan pandai membawa diri dengan semua orang. Dunia seni ini bukan mudah, jadual padat dengan rakaman, sesi temu bual dan pelbagai tuntutan lain.

“Kalau Umairah mahu serius, dia kena kuat dan tidak mudah hanyut. Jati diri mesti kukuh, dan paling penting jangan lupa pada mak ayah, kerana doa dan restu mereka adalah tunjang segalanya,” pesannya.

Tambah ibu dua anak itu, selain menjaga bakat yang dimiliki, Umairah juga harus menghargai peluang yang diberikan Allah dan dalam masa sama tidak mengabaikan pelajaran.

“Dia mempunyai masa depan yang sangat cerah. Saya yakin Umairah memang dilahirkan untuk menghiburkan.

“Tetapi dalam masa yang sama, pelajaran tetap perlu dijaga kerana dia juga berpotensi untuk cemerlang dalam bidang akademik,” ujar Siti lagi.

Related post

Leave a Reply