Tawar ‘Bunyi’ Lebih Segar, Distorted Pertaruhkan New Material

Tawar ‘Bunyi’ Lebih Segar, Distorted Pertaruhkan New Material

Menyebutkan sahaja nama Distorted, pasti ramai dalam kalangan penikmat muzik tempatan belum kenal dengan band yang satu ini. Tapi bagi sebahagian peminat muzik ‘underground’, mereka sebetulnya sudah memulakan langkah pertama sebelum ini. 

Dianggotai oleh tiga anak muda, Sino, Eneyeqay dan Balo, kehadiran mereka bukan lagi sekadar mencuba nasib sebaliknya hadir dengan album perdana berjudul New Material.

Melihatkan satu persatu anggota, tumpuan pasti terarah kepada Balo sementelah dia juga merupakan Iqie yang terkenal bersama kumpulan Imsomniacks.

Meskipun berbeza band dan berbeza nama pentas, ada sesuatu yang menarik mahu dipersembahkan oleh Balo melalui band Distorted yang baru sahaja melancarkan album mereka minggu lalu.

Dengan gabungan unik tekstur elektronik, irama eksperimental dan emosi, New Meterial mewakili detik penentu bagi trio ini dalam mengukir laluan mereka sendiri dalam muzik moden.

Album yang dianggap sebagai nafas baharu untuk Distorted begitu unik dan menarik perhatian sesiapa sahaja yang mendengarnya meskipun ia dihasilkan bagi memenuhi kehendak ketiga-tiga mereka.

Bagaikan semua filem yang bermain dengan seluruh jiwa, 16 lagu yang terkandung di dalam album ini juga berjalan seiring mengikut rentak yang dimainkan.

New Meterial bermula dengan 10 lagu rap dan hip-hop bertenaga tinggi sebelum perlahan menjadi enam lagu emosional dan introspektif yang menutup kisah ini dengan nada lebih peribadi.

Hampir tiga tahun album ini melalui proses pra-produksi, proses mencari titik pertemuan pelbagai genre untuk dimuatkan dalam naskhah ini juga bukan mudah untuk dilalui memandangkan ketiga-tiga mereka datang dari latar belakang yang berbeza.

Hasilnya, ahli-ahli Distorted mencurahkan segala yang mereka pelajari dan lalui ke dalam satu karya bersama. Dalam proses itu, mereka bereksperimen, meneroka genre baharu dan bekerjasama dengan ramai artis berbakat yang membantu membentuk album ini menjadi seperti hari ini.

“Kami yakin pendengar boleh mengagak bunyi dan nafas baharu yang dihasilkan. Ia telah menjadi perjalanan yang panjang sejak hari pertama, bekerja dengan individu berbakat dari pelbagai bidang dan saling jatuh cinta dan hilang minat dengan setiap lagu. 

“Melihat demo semalaman berubah menjadi track lengkap, rasa macam tak percaya apabila album ini akhirnya disempurnakan dengan baik,” kongsi Sino.

New Material hadir mengisi lompong yang ada bagi memenuhi minat mereka.

Memberikan fokus kepada lagu Sheesh dan Bayangan sebagai fokus utama, pelbagai elemen diguna pakai oleh mereka dalam mencari sentuhan untuk setiap karya.

“Sheesh sebetulnya menangkap sisi eksperimental Distorted. Lagu ini adalah bunyi yang kami mahu orang kaitkan dengan kumpulan ini. 

“Elemen elektronik berat bersama struktur lagu yang tidak konvensional benar-benar menetapkan tona untuk keseluruhan album,” kata Balo pula. 

Bercerita mengenai Bayangan pula, Eneyeqay menganggap karya tersebut membawa emosi introspektif dan melankolia yang begitu halus. 

Lagu tersebut bagaikan memikul satu beban senyap yang mengikuti seperti bayang. Ia meneroka ketegangan manis-pahit antara melepaskan dan perasaan yang masih tinggal walaupun sudah cuba bergerak ke hadapan.

“Idea ini datang dari fasa di mana saya sedang belajar melepaskan beberapa orang dan beberapa momen. Saya nak tangkap ruang di antara mengingati dan meneruskan hidup. Naskhah ini menjadi cara saya menukar perasaan itu kepada bunyi.”

“Semua yang terlibat membawa emosi dan kreativiti sendiri ke dalam projek ini. Kami semua melalui fasa yang sama dalam cara masing-masing untuk mencipta lagu ini. 

“Saya harap orang dapat lihat sedikit kisah mereka dalam Bayangan. Sama ada ia mengingatkan kepada seseorang yang dirindui atau masa yang sudah tinggalkan,” kongsi Eneyeqay.

Pada terasnya, New Material adalah tentang ketahanan, evolusi dan refleksi untuk melalui perjuangan seterunya bergerak ke hadapan dari masa lalu,

Jelas Sino, album ini ialah sebahagian daripada karya hidupnya. Ia bermula ketika kumpulan itu pertama kali ditandatangani, lahir daripada keinginan untuk mencipta sesuatu yang benar.

“Saya harap New Meterial diterima pendengar dan membuat mereka merasai sesuatu. Untuk apa yang seterusnya, kami hanya nak terus buat lebih banyak muzik,” katanya.

Sebagai rekod, album New Meterial sudah dilancarkan secara rasmi pada 14 November yang lalu.

Related post

Leave a Reply