SUGA BTS Sumbang RM14.9 Juta, Pusat Rawatan Kanak-Kanak Min Yoon Gi Kini Dibuka di Seoul

SUGA BTS Sumbang RM14.9 Juta, Pusat Rawatan Kanak-Kanak Min Yoon Gi Kini Dibuka di Seoul

Hospital Severance secara rasmi telah membuka Pusat Rawatan Min Yoon Gi, sebuah fasiliti baharu yang diwujudkan hasil sumbangan sebanyak 5 bilion won (RM14.9 juta) oleh SUGA daripada BTS pada Jun tahun lalu.

Pusat rawatan berkenaan terletak di tingkat satu Bangunan Jejungwon, Seodaemun-gu, Seoul dengan Profesor Chun Geun Ah, pakar psikiatri kanak-kanak, dilantik sebagai pengarah pusat berkenaan.

Pusat itu dilengkapi bilik khas untuk terapi bahasa dan tingkah laku, serta ruang terapi muzik dan terapi kumpulan sosial yang dilengkapkan dengan sistem kalis bunyi dan akustik. Di ruang menunggu penjaga, karya seni artis autisme Lee Gyu Jae turut dipamerkan.

Pada November tahun lalu, SUGA sendiri mendekati Profesor Chun untuk menawarkan bakat muziknya bagi kerja sukarela. Beberapa bulan berikutnya, dia mengambil bahagian dalam sesi terapi dengan memainkan gitar untuk kanak-kanak yang berada dalam spektrum autisme.

Berdasarkan pengalaman itu, SUGA dan Profesor Chun bersama-sama membangunkan program terapi baharu dinamakan MIND (Music·Interaction·Network·Diversity). Program MIND mengintegrasikan muzik dalam terapi untuk membantu kanak-kanak autisme membangunkan kemahiran sosial.

Program tersebut terbukti berkesan walaupun untuk kanak-kanak dengan keupayaan kognitif rendah atau komunikasi verbal yang terhad. Mereka digalakkan membuat pilihan sendiri dengan memilih instrumen selain mempelajari giliran melalui permainan secara berkumpulan.

Selain itu, pusat ini turut menawarkan penjagaan bersepadu daripada pasukan multidisiplin yang terdiri daripada pakar psikiatri kanak-kanak, ahli terapi muzik, ahli patologi pertuturan-bahasa, ahli terapi tingkah laku serta pakar psikologi klinikal. Pasukan ini memberi sokongan menyeluruh dan bersifat peribadi.

“Kanak-kanak A dan B menunjukkan kurang penglibatan semasa sesi terapi pertuturan biasa. Namun, ketika sesi sukarela bersama SUGA, mereka aktif memilih instrumen dan mengikut rentak, menunjukkan minat dan penyertaan yang jelas,” kongsi hospital berkenaan.

Profesor Chun berkata, Pusat Rawatan Min Yoon Gi menggunakan muzik bukan sahaja untuk mengajar, tetapi juga untuk meningkatkan hasil terapi dan kemahiran sosial.

“Melihat kanak-kanak ini berusaha ke arah berdikari memberi harapan kepada kami untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap kecacatan perkembangan,” katanya.

Akhir tahun ini, satu acara khas untuk kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam program MIND akan dianjurkan. Seramai 10 kanak-kanak dan remaja dengan autisme dijadualkan menyertai program dua hari pada bulan November. Pada Disember, mereka akan mengadakan konsert di Auditorium Besar Universiti Yonsei.

Related post

Leave a Reply