Stacy Pertaruh Mega Ching!, Pertaruh Muzik Elektro Dance
Setelah sekian lama tidak hadir dengan lagu baharu, Stacy akhirnya berbangga apabila melancarkan Mega Ching!, sebuah karya yang penuh dengan elemen muzik ‘dance’ terkini dan punya identiti tersendirinya.
Dicipta sepenuhnya oleh Stacy yang menggunakan nama pena Bunga Cantik, Mega Ching! hadir sebagai simbol ekspresi diri, keyakinan dan jiwa penghibur yang sudah sinonim dengan penyanyi kelahiran Sabah ini.
Lagu ini juga menandakan kepulangannya dengan identiti muzik yang sering dirindui peminat sejak era awal kariernya.
Mengulas mengenai inspirasi utama lagu ini, Stacy berkata Mega Ching! datang daripada personaliti dan gaya dirinya sendiri.
“Inspirasi utama lagu ini hadir ketika berada di atas pentas. Ia cara saya melunturkan rasa gementar dan mendisiplinkan diri ketika menyanyi sambil menari. Peminat lama pasti tahu, maksud ‘mega ching’ itu sendiri sama seperti ‘alamak, terlebih sudah’, karakter yang memang pernah saya bawa dulu.
“Bagi saya, semua orang ada cerita masing-masing. Jadi, lagu ini jambatan untuk mengekspres perasaan. Apa pun situasi, saya lebih memilih untuk labelkan sebagai ‘ching’ sahaja iaitu mudah untuk ‘move on’,” katanya.
Stacy mendedahkan Mega Ching! melalui proses pembikinan yang panjang dan teliti.
“Lagu ini sepatutnya dibawakan di konsert Aku Stacy di Kota Kinabalu pada Jun lalu, tetapi saya memilih untuk tidak tergesa-gesa. Hampir dua hingga tiga kali juga kami tukar melodi sepanjang lima bulan proses rakaman,” katanya.

Sebagai penyanyi yang terkenal dengan energi di pentas, Stacy mengakui Mega Ching! membawa kelainan total.
“Lagu ini sangat berbeza daripada karya saya sebelum ini. Saya eksperimenkan susunan muzik EDM style K-pop yang digilai kini, bersama penggubah yang memang pakar genre tersebut.
“Kemudian saya gabungkan melodi dan lirik yang masih mengekalkan karakter saya. Paling unik, kali pertama saya memasukkan elemen rap yang mana rap itu ada dialek Sabah,” katanya.
Menggambarkan identiti muzik lagu ini, Stacy berkongsi rentak Mega Ching! lebih ‘fun’, ‘energetic’ dan ‘confident booster’.
“Lirik lagu ini berkisar persaingan sihat menerusi interpretasi‘ching’itu sendiri, dengan sedikit elemen sindir manja.
“Mesej yang ingin disampaikan dalam lagu ini adalah ‘bring it on!’. Lagu ini membawa aura positif iaitu teruskan usaha tanpa putus asa dan yakin dengan kelebihan diri. Tapi walau nak ‘mega ching’sekalipun, tetaplah berpada-pada,” katanya.
Menurut Stacy, maklum balas awal daripada pasukan produksi dan rakan-rakan cukup menggembirakan.
“Alhamdulillah, semua beri reaksi positif dan mereka kata‘Stacy is back’! Mungkin sebab sudah lama mereka tidak dengar genre yang biasa saya bawa dulu. Semoga ia mengubat rindu peminat setia saya.
“Saya berharap “Mega Ching!” dapat memberi rasa ‘feel good’ dan aura positif dalam situasi yang berbeza. Saya mahu peminat lebih berani keluar dari zon selesa dan menghargai keaslian diri,” katanya.
Stacy turut mengesahkan Mega Ching!adalah sebahagian daripada projek muzik yang lebih besar.
“Selepas konsert baru-baru ini, perjalanan muzik saya memang menuju ke album baharu yang kini dalam proses rakaman. Mega Ching! adalah antara lagu yang akan dimuatkan,” katanya.
Diterbitkan oleh Nova Music Malaysia, Mega Ching! telah dilancarkan secara rasmi pada 28 November lalu.
