Siasatan Polis Terhadap Bang Si Hyuk Hampir Selesai, Dakwaan Penipuan Saham Menjelang IPO HYBE

Siasatan Polis Terhadap Bang Si Hyuk Hampir Selesai, Dakwaan Penipuan Saham Menjelang IPO HYBE

Pengerusi HYBE, Bang Si Hyuk, kini berada di peringkat akhir siasatan polis berhubung dakwaan transaksi saham secara penipuan.

Menerusi sidang media yang berlangsung pada 15 Disember, Ketua Agensi Polis Metropolitan Seoul, Park Jeong Bo, berkata, pihak berkuasa sedang meneliti setiap aspek perundangan secara menyeluruh bagi memastikan siasatan ditamatkan tanpa sebarang keraguan.

Apabila ditanya mengenai kemungkinan permohonan waran tangkap, Park berkata perkara itu masih dalam pertimbangan.

Bang Si Hyuk dituduh menipu pelabur sedia ada pada tahun 2019, sebelum tawaran awam permulaan (IPO) HYBE dengan mendakwa secara palsu bahawa syarikat itu tidak mempunyai rancangan untuk disenaraikan di pasaran saham.

Pelabur dikatakan digalakkan menjual saham mereka kepada sebuah syarikat tujuan khas (SPC) yang ditubuhkan oleh dana ekuiti persendirian (PEF) yang dikawal oleh eksekutif HYBE.

Polis mengesyaki Bang Si Hyuk memperoleh keuntungan haram kira-kira 19 bilion won (RM52.71 juta), iaitu 30 peratus daripada keuntungan hasil penjualan saham selepas IPO melalui perjanjian persendirian dengan dana tersebut.

Pihak berkuasa telah melakukan serbuan ke atas Bursa Korea di Yeongdeungpo, Seoul, pada 30 Jun bagi mengumpul dokumen berkaitan proses penilaian penyenaraian HYBE. Pada 24 Julai, polis turut menyerbu ibu pejabat HYBE di Yongsan, Seoul. Bang kemudiannya dikenakan larangan keluar negara dan telah disoal siasat sebanyak lima kali.

Pasukan guaman Bang menegaskan bahawa semua tindakan semasa proses IPO telah mematuhi sepenuhnya undang-undang dan peraturan berkaitan, serta menegaskan bahawa tiada sebarang salah laku dari segi perundangan.

Sumber: Allkpop

Related post

Leave a Reply