BeritaTrending

Shamsul Ghau Ghau Ucap Terima Kasih Kepada FINAS & SENIMAN

Pelakon, Shamsul Ghau Ghau meluahkan rasa syukur dan terharu atas keprihatinan yang diterimanya selepas diziarahi Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac, di kediamannya di Bandar Baru Bangi, pada Jumaat.

Lawatan berkenaan diadakan menerusi Program Ziarah Seni Prihatin Madani, bagi bertanya khabar serta menyampaikan sumbangan kepada Shamsul yang sebelum ini dirawat di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Serdang.

Turut hadir ialah Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi.

“Saya tidak tahu hendak cakap apa, syukur Alhamdulillah. Semoga apa yang dilakukan, dapat dibalas Allah SWT dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Shamsul yang dibenarkan pulang ke rumah pada Khamis selepas menjalani prosedur membuang darah beku di bahagian otak kiri, merakamkan penghargaan kepada FINAS dan SENIMAN atas keprihatinan yang ditunjukkan.

Bagaimanapun, Shamsul masih dalam proses pemulihan dan belum dapat bertutur dengan lancar serta terpaksa bergantung kepada isterinya, Syarifah Azrinah Syed Ibrahim, untuk menyampaikan kenyataan berikutan masalah kelewatan pertuturan.

Menurut Syarifah, otak suaminya kini sukar memproses maklumat visual dan memerlukan kira-kira 90 hari untuk pulih sepenuhnya.

“Selepas prosedur dijalani, ingatannya agak terganggu. Contohnya, nampak muka orang yang dia kenal, tetapi hendak sebut nama orang itu tidak terkeluar dari mulutnya.

“Dari luaran memang dia nampak okay, cuma untuk pulih sepenuhnya akan ambil masa. Jadi suami memang tidak dapat bekerja buat sementara waktu.

“Sekarang ini dia jadi macam budak sekolah, dia perlu bantuan visual. Doktor nasihatkan supaya kami banyak tunjukkan gambar untuk bantu kuatkan semula ingatannya,” katanya.

Bagi pihak suami, Syarifah turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada ahli keluarga, rakan serta peminat yang tampil menghulurkan sumbangan, sama ada dalam bentuk kewangan mahupun makanan.

“Kami amat berterima kasih dan terharu atas keprihatinan semua yang menyumbang wang sehingga membolehkan prosedur dijalankan secepat mungkin. Jika tidak, kami tidak tahu apa yang bakal berlaku pada suami,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Hans menjelaskan pihaknya sebelum ini tidak menziarahi Shamsul di hospital bagi memberi ruang kepada artis berkenaan berehat.

“Apabila kami dimaklumkan Shamsul sudah pulang ke rumah, barulah kami datang menziarah kerana ini masa yang lebih sesuai untuk berjumpa dengannya.

“Kami hadir untuk menyampaikan sedikit sumbangan dan selepas ini FINAS akan melihat apakah bentuk bantuan lain yang boleh dihulurkan.

“Shamsul memaklumkan dia memerlukan tempoh rehat antara dua hingga tiga bulan sebelum kembali bekerja.

“Saya doakan semoga dia segera sihat dan dapat kembali menghiburkan rakyat Malaysia seperti yang telah dilakukannya selama lebih 30 tahun,” kata Hans.

Sebelum ini, Shamsul dilaporkan mengalami pendarahan beku dalam otak dan selamat menjalani pembedahan di HSAAS, Serdang.

Difahamkan, kos pembedahan sebanyak RM25,000 diperlukan sebagai deposit dan pelbagai pihak tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan bebannya.

Related Articles

Back to top button