Setelah berlaku penundaan sebelum ini, Konsert Tsumawi 20 Tahun Mawi World Live In KL akhirnya diumumkan batal oleh pihak penganjur.
Menerusi kenyataan media dikeluarkan, pihak Showtag Entertainment selaku penganjur memaklumkan yang mereka terpaksa membatalkan konsert tersebut akibat masalah yang tidak dapat dielakkan.
“Dengan berat hati, kami ingin memaklumkan bahawa Konsert Tsumawi 20 Mawi World Live In KL yang sepatutnya berlangsung terpaksa dibatalkan atas beberapa faktor yang tak dapat dielakkan.
“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan amat menghargai sokongan anda semua selama ini,” katanya.
Terdahulu Mawi mengumumkan bakal mengadakan konsert solo yang sepatutnya berlangsung pada 25 Januari lalu.
Namun, ia tangguhkan kepada Julai tanpa memberikan sebarang tarikh khusus sebelum diumumkan dibatalkan sepenuhnya pada Selasa.
“Keputusan ini bukanlah mudah. Kami telah berusaha sedaya upaya, namun ada hal-hal di luar kawalan yang memaksa kami akur dengan takdir ini.
“Kepada semua yang telah menanti, menyokong dan yang menzahirkan semangat, kami ucapkan jutaan terima kasih. Kami benar-benar menghargai setiap satu daripada anda,” tambah kenyataan itu lagi.
Bagi peminat yang sudah membeli tiket, pemulangan akan dibuat oleh pihak Showtag Entertainment dalam masa terdekat.