BeritaViral

SENIMAN Sedia Jadi Orang Tengah Selesai Konflik Puteri Balqis, Mia Sara

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi menyatakan kesediaan untuk bertindak sebagai orang tengah bagi meredakan ketegangan yang melibatkan pelakon Puteri Balqis, Mia Sara dan Janna Nick.

Menurut Zed, sebarang salah faham atau pertelingkahan dalam kalangan rakan industri seharusnya diselesaikan secara tertutup dan berhemah, bukannya dijadikan bahan perdebatan terbuka di media sosial.

“Isu seperti ini adalah bersifat peribadi dan perlu ditangani secara diplomasi. Apabila dibawa ke ruang awam, ia bukan sahaja memburukkan keadaan, malah memberi kesan negatif kepada imej industri hiburan secara keseluruhan.

“Artis perlu sedar mereka sentiasa berada dalam perhatian masyarakat. Setiap percakapan dan tindakan memberi gambaran kepada umum, sama ada positif atau sebaliknya,” katanya.

Zed menegaskan, budaya saling menuding jari dan membuka perbalahan di platform digital hanya akan mencetuskan lebih banyak spekulasi, sekali gus mengeruhkan keadaan.

“SENIMAN bersedia membantu menjadi perantara agar perkara yang sepatutnya dibincangkan di luar media sosial tidak terus berlarutan. Saya tidak mahu isu ini menjejaskan keharmonian industri,” ujarnya.

Tambah Zed, konflik dalam kalangan artis bukan sesuatu yang asing, terutamanya melibatkan bakat muda yang masih baharu dalam industri.

Malah, SENIMAN sebelum ini pernah memainkan peranan mendamaikan beberapa perselisihan faham, termasuk membabitkan pelakon Neelofa dan Anzalna Nasir.

Jelasnya, kebanyakan konflik berpunca daripada kejutan budaya serta kekurangan kemahiran komunikasi, lebih-lebih lagi dalam era media sosial yang pantas dan terbuka.

Sehubungan itu, Zed menggalakkan artis muda memperkukuhkan pengetahuan dalam bidang komunikasi dan perhubungan awam selain memaklumkan SENIMAN sentiasa menganjurkan bengkel berkaitan sebagai usaha mendidik penggiat seni.

“Kami aktif mengadakan bengkel, khususnya berkaitan pengurusan komunikasi supaya artis lebih bijak menangani isu sesama rakan industri,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan sesetengah pihak yang mengungkit kisah silam atau menyebarkan video lama serta aib peribadi, Zed menegaskan perbuatan tersebut tidak wajar dan perlu dihentikan segera.

Katanya, setiap individu pasti pernah melakukan kesilapan, namun apabila seseorang memilih untuk berubah ke arah kebaikan, kisah lama tidak seharusnya dijadikan bahan serangan.

Zed turut meluahkan kebimbangan budaya membuka aib dan perbalahan terbuka ini boleh menjadi contoh buruk kepada generasi artis akan datang.

“Sepatutnya kita menutup aib, bukan menyebarkannya di media sosial. Tambahan pula dengan kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan imej dan video dimanipulasi. Kami menerima banyak aduan daripada artis berkaitan isu ini.

“Apabila perbalahan berlaku, akan muncul pelbagai perkara yang mungkin benar atau tidak benar. AI boleh mencetuskan fitnah. Jadi, elakkan konflik ini berpanjangan supaya tidak timbul isu yang lebih merosakkan,” katanya.

Related Articles

Back to top button