Seniman Bertemu Menteri Luar Negeri, Maklum Kes Kehilangan Nadia Kesuma

Satu pertemuan telah diadakan oleh Persatuan Seniman Malasysia (Seniman) bersama Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hassan bagi memaklumkan kes kehilangan pelakon Nadia Kesuma pada Jumaat.
Seniman yang diwakili Setiausaha Agung, Hafiz Nafiah mengadakan pertemuan di World Trade Centre (WTC) bagi memaklumkan kes berkenaan sebagai usaha membantu kes berkenaan.
“YB (Yang Berhormat) Menteri sudah dimaklumkan dan meminta kami berhubung dengan pejabat Kementerian Luar untuk tindakan lanjut.
“Pihak Konsulat Malaysia di Jeddah juga sudah melaporkan kes ini kepada pihak berkuasa Arab Saudi. Beberapa tindakan lanjut juga sudah dilakukan termasuklah memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan Nadia,” katanya.
Kes pelakon ini tular apabila dia dikhabarkan hilang sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Jeddah pagi semalam.
Hasil maklumat awal yang kami peroleh, Nadia sepatutnya menaiki penerbangan ke London pada jam 8.30 pagi waktu tempatan setelah transit sekitar dua jam di Jeddah.

“Namun beliau tidak menaiki pesawat untuk ke London dan tidak dapat dikesan setelah ke tandas. Beberapa kali nama beliau dipanggil di lapangan terbang namun beliau masih tidak munculkan diri.
“Walau bagaimanapun, beg bimbit miliknya dijumpai di lapangan terbang manakala beg dalam kargo pesawat telah tiba di London,” kata Hafiz.
Seniman juga memaklumkan, pihak keluarga dan konsulat Malaysia telah membuat laporan polis hari ini bagi menjalankan siasatan.
Dalam pada itu, Seniman juga memaklumkan kepada semua yang Nadia ada mengirimkan pesanan melalui WhatsApp kepada suaminya sebaik sahaja tiba di Jeddah.
“Ayat ‘I met Stranger’ itu bermaksud beliau bersama jemaah dalam trip beliau yang beliau baru kenali bukan bermaksud beliau berjumpa dengan orang lain atau sebaliknya.
“Seniman menggesa agar semua pihak berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengelirukan masyarakat dan menjaga sensitiviti pihak keluarga yang berada dalam keadaan kerisauan,” tambah Hafiz lagi.



