
Pelakon, Daler Yusuf, 33, tampil memohon maaf kepada aktres muda, Puteri Balqis susulan hantarannya di Threads yang sebelum ini mencetus rasa kurang senang dan mengundang pelbagai reaksi warganet.
Menurut Daler, dia sudah mengambil langkah untuk meredakan keadaan termasuk memadam hantaran berkenaan, membuat permohonan maaf secara terbuka serta menghantar mesej peribadi kepada Balqis.
“Saya sudah minta maaf di ruangan komen dan juga melalui mesej peribadi. Saya juga memadam hantaran itu kerana tidak mahu perkara ini berlarutan,” katanya.
Bagaimanapun, jelas Daler, setakat ini permohonan maaf tersebut masih belum menerima sebarang maklum balas.
“Saya benar-benar minta maaf sekiranya apa yang saya tulis sebelum ini membuatkan dia berasa terganggu atau marah. Niat saya sebenarnya untuk menyokong dia mempertahankan diri,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Daler menjelaskan dia menyokong keberanian Balqis bersuara mengenai isu buli, namun menegaskan tegurannya sebelum ini lebih tertumpu kepada cara dan adab individu dewasa yang terlibat.
“Saya hanya menegur bapa tirinya dan teman lelakinya. Saya tidak kisah jika mereka mahu mempertahankan isteri atau pasangan masing-masing, itu hak mereka.
“Walau sejahat mana sekalipun seseorang, kita masih perlu menjaga adab apabila bercakap dengan perempuan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Daler turut meluahkan rasa terkilan apabila kecaman yang diterima menjadi keterlaluan sehingga melibatkan ahli keluarganya.
“Saya boleh terima kalau orang mahu mengecam saya, tetapi apabila ia melibatkan anak-anak, sebagai seorang ayah, saya sangat sedih,” katanya.
Menurut Daler, kecaman sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana ramai yang memberi komen tanpa mengenali dirinya mahupun situasi sebenar.
Terdahulu, Daler menegur kenyataan yang dibuat oleh bapa tiri dan tunang Puteri Balqis berhubung isu membabitkan aktres itu bersama Mia Sara, yang disifatkannya menggunakan bahasa terlalu keras dan kurang sesuai terhadap seorang gadis muda.



