“Saya Tak Rasa Bella Astillah Sindir Saya” – Sophia Albarakbah

Pelakon, Sophia Albarakbah, 32, mengambil pendekatan untuk kekal profesional apabila ada segelintir netizen mendakwa wujud ketegangan antara dirinya dengan Bella Astillah ketika mereka berada sepentas di Anugerah Melodi Terhangat 2025.

Sophia yang menerima trofi Selebriti Feminin Terhangat berkata, dia tidak melihat interaksi bersama Bella sebagai sesuatu yang negatif atau sindiran tersirat seperti didakwa.

“Okay sahaja. Saya dalam industri yang sama, dan saya masih terkejut sebenarnya kenapa saya yang menang. Saya bersyukur sangat dengan penghargaan ini.

“Saya tak rasa pun Bella sindir saya. Mungkin itu cara dia sampaikan anugerah. Saya anggap ia sebagai satu momen profesional, bukan isu peribadi,” ujar pelakon filem Saka Perawan itu.

Enggan memperbesarkan perkara yang boleh mencetuskan salah faham, Sophia menegaskan dia hanya mahu memberi tumpuan kepada pengiktirafan yang diterimanya dan tidak berminat untuk melayan spekulasi.

“Saya lebih selesa fokus pada perkara positif dan anugerah yang saya terima. Saya anggap semua ini sebagai sebahagian daripada perjalanan dalam industri hiburan,” tambahnya.

Sebelum ini, klip ketika Bella mengumumkan kemenangan Sophia menjadi bualan netizen apabila interaksi mereka disifatkan kurang mesra dan sedikit janggal di atas pentas.

Tidak cukup dengan itu, Bella juga enggan ditemu bual media selepas selesai acara walaupun memenangi kategori Selebriti Couple Goals Terhangat bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.

Pasangan itu dilaporkan meninggalkan lokasi acara sejurus selepas malam anugerah tamat tanpa menghadiri ke bilik media seperti selebriti lain.

Related post

Leave a Reply