Berita

“Saya Dikritik Bantu Orang Bersyahadah”

Pelakon, Diana Rafar, 44, mendedahkan dia pernah berdepan detik sukar apabila menerima pelbagai kecaman susulan usahanya membantu individu yang ingin memeluk Islam.

Menurut Diana, kritikan demi kritikan yang dilemparkan segelintir pihak sebelum ini cukup memberi kesan kepada emosinya sehingga terlintas di fikiran untuk menghentikan usaha tersebut.

Namun, dia bersyukur apabila mendapat dorongan serta bimbingan daripada Jabatan Agama, mufti dan para pendakwah yang sentiasa menyokongnya dari belakang tabir.

“Saya dikritik dan dipersoalkan tentang kelayakan untuk membantu orang bersyahadah atau bercakap soal agama.

“Sedangkan saya tak pernah mendakwa diri ini sempurna, apatah lagi suci daripada dosa. Apa yang saya lakukan hanyalah ikhtiar untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT,” katanya.

Tambahnya, sokongan daripada pihak berautoriti agama dan beberapa ustaz banyak membantunya memulihkan keyakinan diri.

Katanya, pengalaman itu mengajarnya bahawa seseorang tidak perlu menunggu gelaran tertentu atau menjadi insan sempurna terlebih dahulu sebelum menyampaikan kebaikan.

Dalam masa sama, Diana mengakui reaksi positif daripada mereka yang tertarik mendengar perkongsiannya mengenai Islam menjadi antara pembakar semangat untuk terus istiqamah.

“Bila saya berkongsi tentang keindahan Islam, ada yang benar-benar teruja dan ingin tahu lebih lanjut. Itu yang buat saya fikir, kenapa perlu berhenti hanya kerana kecaman?

“Memang sebelum ini saya terasa hati apabila dilabel dengan macam-macam gelaran dan dipersoalkan kelayakan. Tapi sekarang saya lebih tenang dan tidak lagi mudah goyah,” ujarnya lagi.

Terdahulu, pada Januari lalu dilaporkan Diana telah membantu sembilan individu memeluk Islam sejak tahun 2022.

Baginya, pengalaman tersebut memberi kepuasan yang sukar digambarkan selain membawa perubahan positif dalam kehidupannya sendiri.

Kini, Diana turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan, Hidayah Centre Foundation, bagi menguruskan hal berkaitan dokumentasi termasuk urusan penukaran status agama pada kad pengenalan dan proses pentadbiran lain yang berkaitan.

Related Articles

Back to top button