“Saya Belum Hamil, Masih Datang Bulan”

Pelakon terkenal Indonesia, Luna Maya, 41, menyangkal dakwaan segelintir pihak yang mengatakan dirinya kini sedang berbadan dua.

Menurut Luna, dia masih belum bersedia untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat.

“Setakat ini saya masih datang bulan, jadi belum hamil. Selepas bulan madu, saya akan terus sibuk dengan penggambaran filem hingga hujung tahun.

“Memang belum ada perancangan untuk hamil buat masa ini,” jelasnya dalam satu temu bual.

Kata Luna lagi, keputusan untuk menangguhkan kehamilan dibuat atas faktor komitmen kerja dan enggan menanggung risiko semasa menjalani penggambaran filem yang padat dan mencabar.

“Saya tak nak ambil risiko sebab banyak babak lasak dalam filem nanti. Kalau saya hamil, takut pula membahayakan kandungan.

“Ramai juga yang nasihatkan, sebab umur dah tak muda. Tapi saya mahu pastikan diri betul-betul bersedia, terutama dari segi mental,” kongsinya lagi.

Pelakon filem Suzzanna: Malam Jumat Kliwon itu juga memaklumkan perkara tersebut telah dibincangkan secara terbuka bersama suaminya, Maxime.

“Saya sudah beritahu Maxime, kita fokus kerja dulu. Selepas selesai semua projek dan tiada lagi komitmen filem panjang, barulah kami akan fikirkan soal anak.

“Setiap orang ada rezeki dan waktunya sendiri. Ini tubuh saya, jadi bila saya bersedia nanti, kamu semua akan tahu,” ungkap aktres jelita itu.

Untuk rekod, Luna Maya dan Maxime Bouttier yang beza usia 10 tahun selamat bergelar suami isteri dalam sebuah majlis perkahwinan indah di Bali pada 15 Julai lalu.

Related post

Leave a Reply