BeritaMusic

Pujukan Ismail Izzani Berjaya, Suliza Salam Buat ‘Comeback’

Selepas lama berehat dan tidak muncul dengan sebarang karya, penyanyi legenda, Suliza Salam akhirnya bersetuju untuk kembali ke studio rakaman atas dorongan anaknya yang juga penyanyi, Ismail Izzani.

Ismail mendedahkan usaha memujuk ibunya bukanlah sesuatu yang mudah, malah mengambil masa yang agak panjang sebelum Suliza memberi kata setuju untuk terlibat dalam album terbaharunya.

“Terus terang, ambil masa berbulan-bulan juga. Saya pujuk perlahan-lahan, ajak ibu buat aktiviti yang dia suka seperti main pickleball dan pastikan dia gembira dulu, barulah dia setuju,” katanya.

Menurut Ismail, kebimbangan utama ibunya berpunca daripada rasa ragu terhadap kemampuan diri memandangkan sudah lama tidak aktif sebagai penyanyi.

“Ibu risau tak dapat beri yang terbaik kerana sudah lama tinggalkan bidang ini. Tapi saya yakinkan dia, apa sahaja yang datang daripada ibu sudah cukup bermakna buat saya,” jelasnya lagi.

Bagi Ismail, kemunculan Suliza dalam albumnya bukan sekadar kolaborasi biasa, sebaliknya satu detik penting dalam perjalanan seninya kerana ibunya merupakan individu yang sentiasa menjadi tunjang sokongan sejak awal penglibatannya dalam industri muzik.

Mengulas mengenai lagu istimewa tersebut, Ismail memberitahu karya berjudul Janji Mama itu dicipta hasil luahan perasaan selepas perbualan panjang bersama ibunya.

“Lagu ini lahir selepas saya berbual dengan ibu hampir dua jam melalui telefon. Dari situ saya benar-benar sedar betapa besar pengorbanan seorang ibu demi memastikan anaknya mencapai impian,” katanya.

Difahamkan, rakaman versi demo lagu tersebut sudah selesai dan Ismail menyasarkan rakaman penuh dapat disempurnakan sebelum sambutan Aidilfitri akan datang.

Dalam masa sama, Ismail turut memaklumkan dia kini giat menyiapkan album baharu yang dijangka memuatkan sekitar 12 hingga 15 buah lagu, dengan fokus utama kepada kolaborasi bersama barisan artis tempatan.

Related Articles

Back to top button