
Seorang lelaki warga Malaysia yang merupakan penduduk tetap (PR) Singapura didenda RM9,000 kerana menghalang dan mengubah suai nombor plat kenderaannya yang berdaftar di Singapura ketika berada di Johor.
Long Sa Kow, 63, dirakam dalam sebuah video ketika sedang mengisi minyak RON95 bersubsidi di stesen minyak tempatan.
Dia didakwa di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan yang telah diubah atau diusik.
Long mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kulai, lapor China Press.
Di bawah undang-undang tersebut, dia boleh dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM20,000, atau dipenjara antara satu hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Video kejadian yang berlaku pada 2 Januari kira-kira pukul 10:36 malam itu menunjukkan huruf pertama dan terakhir pada nombor plat keretanya telah ditampal dengan pita, supaya kelihatan seperti kenderaan berdaftar di Malaysia.
Rakaman tersebut mula tular di internet pada 3 Januari lalu.
Sa Kow kemudiannya tampil menyerah diri kepada pihak polis Malaysia pada 6 Januari.
Dia perlu menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.



