Pasangan Pengantin Ini Caj Tetamu Sehingga RM4,200, Hasil Disalur Ke Badan Amal

Pasangan Pengantin Ini Caj Tetamu Sehingga RM4,200, Hasil Disalur Ke Badan Amal

Sepasang pengantin di Idaho, Amerika Syarikat, menjadi bualan hangat apabila memilih untuk mengenakan bayaran kepada tetamu yang ingin menghadiri majlis perkahwinan mereka yang berlangsung selama tiga hari pada awal bulan ini. Bayaran tertinggi yang dikenakan mencecah AS$997 (RM4,200) seorang.

Pasangan tersebut, Marley Jaxx dan Steve J. Larsen, kedua-duanya usahawan dalam bidang digital, menjelaskan bahawa langkah itu diambil bagi mengelakkan beban hutang perkahwinan dan pada masa sama memberikan pengalaman istimewa kepada para jemputan.

Menurut laporan media antarabangsa, tiket majlis dibahagikan kepada beberapa pakej. Pakej asas berharga AS$57 (RM240) memberi akses ke acara akad nikah dan resepsi, manakala pakej VIP bernilai AS$997 (RM4,201) untuk dua orang menawarkan keistimewaan seperti makan malam latihan, sesi sarapan lewat bertema biohacking, tempat duduk eksklusif, dan peluang promosi jenama.

Seramai 270 orang tetamu hadir, kebanyakannya rakan dalam talian dan pengikut media sosial pasangan berkenaan. Jumlah kutipan mencecah AS$132,550 (RM557,000). Setelah menampung kos majlis, baki dana disalurkan kepada Village Impact, sebuah pertubuhan amal yang membina sekolah di Kenya.

Seperti yang dilaporkan Astro Awani, pasangan ini turut memaklumkan bahawa tetamu tidak diwajibkan membawa hadiah perkahwinan, sebaliknya, bayaran tiket dianggap sebagai sumbangan untuk pengalaman yang mereka sediakan.

Walaupun pendekatan ini menerima kritikan daripada sesetengah pihak yang menganggap ia terlalu bersifat komersial, ramai juga yang memuji keterbukaan pasangan tersebut serta matlamat murni untuk beramal. Marley dan Steve menggambarkan konsep ini sebagai “menggugat tetapi bermatlamat”, dan berharap ia boleh menjadi inspirasi kepada pasangan lain yang mahu meraikan perkahwinan tanpa tekanan kewangan.

Related post

Leave a Reply