
Kehilangan pelakon Nadia Kesuma selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, mencetuskan kebimbangan apabila dia gagal dikesan sejak malam Rabu.
Rakan baik Nadia yang juga Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS), Anne Abdullah, mendedahkan perkara tersebut selepas dihubungi oleh suami aktres berkenaan yang risau dengan keadaan isterinya.
Menurut Anne, Nadia berlepas ke Tanah Suci seorang diri melalui sebuah agensi pelancongan menerusi pakej umrah ziarah yang merangkumi beberapa destinasi luar negara termasuk London.
“Sebaik sahaja tiba di Jeddah, dia ada mesej suaminya dan beritahu selamat sampai. Tapi selepas itu, Nadia sepatutnya menyambung penerbangan ke London.
“Namun pihak agensi memaklumkan dia tidak naik pesawat tersebut dan sejak itu telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi,” katanya.
Keadaan menjadi semakin membimbangkan apabila mesej terakhir Nadia kepada suaminya menyebut dia bertemu individu yang tidak dikenali sebelum terus menyepi.
“Dia ada hantar mesej ringkas mengatakan ‘I met stranger’, lepas itu terus senyap. Kedua-dua telefonnya hanya ‘delivered’ tapi tiada balasan,” jelas Anne.
Tambahnya lagi, semakan mendapati nama Nadia direkodkan tiba di Jeddah, namun tiada sebarang rekod daftar masuk untuk penerbangan seterusnya.
“Saya sendiri terkejut kerana menyangka dia pergi bersama suami. Rupanya Nadia pergi seorang diri dengan agensi.
“Pakej umrah yang diambil memang melibatkan perjalanan ke beberapa negara seperti Makkah, Paris dan London, dan memang ramai yang ambil pakej sebegini,” katanya.
Susulan kehilangan itu, Anne memaklumkan dia akan segera membuat laporan polis bagi membantu usaha mengesan kedudukan sebenar Nadia.



