
Pelakon, Nadia Brian, 35, meluahkan rasa terkejut apabila timbul dakwaan kononnya dia menanggung kehidupan kekasihnya, Nedim Nazri yang didakwa tidak lagi memiliki kedudukan kewangan kukuh.
Menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut, Nadia menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai fitnah dan tidak berasas.
“Saya tidak sedih sangat sebab sebagai anak seni, perkara seperti ini memang biasa. Kadang-kadang benda yang kita tak buat pun orang boleh cakap macam-macam.
“Cuma saya terkejut dan berharap orang ramai dapat terus mendoakan yang baik-baik untuk saya dan Nedim agar hubungan kami ke arah lebih bahagia, insya-Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Nadia turut menyeru pihak yang menyebarkan cerita tidak benar mengenai hubungan mereka supaya menghentikan perbuatan berkenaan kerana ia hanya bertujuan untuk mengaibkan.
“Semua ini perkara yang boleh menjatuhkan maruah orang. Kepada sesiapa yang buat cerita, maaflah sebab fitnah ini memang tak menjadi.
“Lebih baik doakan perkara yang baik-baik, insya-Allah kita semua akan bahagia,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Terdahulu Nedim meluahkan rasa terkedu apabila terdapat segelintir netizen mendakwa dirinya kini tidak lagi ‘berduit’.
Lebih mengejutkan, Nedim tidak menyangka ada pihak yang mempercayai dakwaan tersebut sehingga mengaitkan dirinya menumpang kemewahan kekasihnya.
Untuk rekod, Nadia pernah mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan Muizz Nasruddin pada 9 November 2019, namun perkahwinan tersebut berakhir selepas empat bulan apabila mereka bercerai pada April 2020.
Sementara itu, Nedim pula pernah berkahwin dengan pelakon Nora Danish pada 30 Mac 2017 sebelum berpisah secara baik sekitar hujung April tahun lalu.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl yang kini berusia tujuh tahun.



