Malaysia Mahu Jadikan Durian Sebagai Buah Kebangsaan, Tapi Indonesia Dakwa Malaysia Tidak Layak

Malaysia Mahu Jadikan Durian Sebagai Buah Kebangsaan, Tapi Indonesia Dakwa Malaysia Tidak Layak

Indonesia menolak keras cadangan Malaysia untuk mengisytiharkan durian sebagai buah kebangsaan. Menteri Penyelaras Hal Ehwal Makanan Indonesia, Zulkifli Hasan menegaskan, Indonesia mempunyai asas sejarah, budaya dan pertanian yang lebih kukuh untuk menjadikan durian sebagai buah kebangsaan republik tersebut.

Bercakap kepada media tempatan, Zulkifli berkata, asas Indonesia untuk menjadikan durian sebagai simbol negara adalah jauh lebih kukuh dan sah berbanding Malaysia. Menurut Zulkifli, buah itu telah lama menjadi sebahagian daripada warisan serta identiti pertanian Indonesia.

Berdasarkan data rasmi Badan Pusat Statistik (BPS), beliau menekankan yang Indonesia menghasilkan hampir 2 juta tan durian pada 2024, jauh melebihi pengeluaran Malaysia.

“Berdasarkan fakta ini, saya percaya durian ialah Buah Kebangsaan Indonesia,” katanya seperti dipetik oleh CNBC Indonesia.

Beliau menambah, pengeluaran durian Indonesia, 1.96 juta tan pada 2024 adalah yang tertinggi dalam tempoh lima tahun, dengan pusat pengeluaran utama di Jawa, Sumatera, Kalimantan dan Sulawesi.

Zulkifli mengakui kejayaan Malaysia dalam eksport durian premium, terutamanya jenis durian bernilai tinggi seperti Musang King.

Isu durian hangat diperkatakan oleh Malaysia dan Indonesia sejak akhir-akhir ini.

Namun, beliau menegaskan bahawa kelebihan Indonesia terletak pada jumlah pengeluaran dan biodiversiti.

Menurut Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN), Indonesia merupakan habitat kepada 21 daripada 27 spesies durian yang dikenal pasti di dunia. Sehingga 2024, Indonesia juga telah mendaftarkan sekitar 114 varieti durian unggul baharu, mengukuhkan lagi tuntutan terhadap akar budaya dan biologi buah tersebut.

“Durian bukan sekadar komoditi. Ia adalah budaya dan sumber rezeki untuk jutaan petani,” kata Zulkifli, sambil menambah simbol negara mesti berteraskan data, sejarah dan realiti.

Bagi mengukuhkan pendirian itu, kerajaan Indonesia merancang untuk mempromosikan identiti Durian Nusantara di peringkat global. Usaha ini termasuk mempertingkat standard pengeluaran serta memperluas eksport produk durian proses ke pasaran antarabangsa.

Sementara itu, Malaysia sedang meneliti cadangan untuk mengisytiharkan durian sebagai buah kebangsaan. Persatuan Pengusaha Durian Malaysia (DMA) telah mengemukakan cadangan rasmi kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

DMA turut mencadangkan 7 Julai sebagai Hari Durian Kebangsaan.

“Durian bukan sekadar buah. Ia sebahagian daripada identiti negara kami,” kata presiden DMA, Eric Chan, seperti dipetik oleh The Straits Times.

Related post

Leave a Reply