Berita

Malaysia Disaran Hadkan Sekitar 10 Cuti Umum Setahun

Malaysia berpotensi mencapai keseimbangan terbaik antara kesejahteraan pekerja dan produktiviti ekonomi sekiranya mempunyai kira-kira 10 cuti umum rasmi setahun, menurut dapatan yang dipetik oleh Centre for Future Labor Market Studies.

Menurut laporan New Straits Times, Small and Medium Enterprises Association (Samenta) telah menggesa kerajaan menilai semula amalan mengumumkan cuti umum secara mengejut, dengan memberi amaran bahawa pengumuman pada saat akhir boleh menjejaskan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Samenta berkata, trend pengumuman cuti mengejut yang semakin meningkat memberi tekanan kewangan kepada perniagaan, terutama ketika syarikat berdepan peningkatan kos operasi serta ketidaktentuan ekonomi global.

Presiden Samenta, William Ng, menjelaskan, Malaysia sebenarnya sudah mempunyai jumlah cuti umum yang agak tinggi dan penambahan cuti secara tiba-tiba boleh mengganggu operasi banyak syarikat.

Menurutnya, sektor pembuatan mungkin terpaksa membayar gaji tiga kali ganda atau berdepan penalti jika gagal memenuhi tarikh akhir kontrak akibat pengumuman cuti secara mengejut.

Ng menambah, sektor seperti perkhidmatan, runcit serta makanan dan minuman antara yang paling terjejas kerana melibatkan stok mudah rosak serta gangguan jadual penghantaran.

Katanya, sekiranya sesuatu perayaan dianggap cukup penting untuk dijadikan cuti umum, ia sepatutnya diwartakan lebih awal dan dimasukkan dalam kalendar kebangsaan.

Langkah itu akan membolehkan perniagaan mengatur tenaga kerja, jadual pengeluaran dan logistik dengan lebih cekap.

Samenta juga mencadangkan kerajaan meneliti serta meminda Public Holidays Act 1951, khususnya Seksyen 8 yang memberi kuasa kepada menteri untuk mengisytiharkan cuti umum tambahan.

Persatuan itu mencadangkan agar cuti ‘ad hoc’ hanya digunakan bagi acara besar negara atau situasi kecemasan.

Samenta turut mengesyorkan supaya tempoh notis minimum tiga bulan dilaksanakan bagi sebarang cuti tambahan yang bukan melibatkan kecemasan.

Menurut kumpulan itu, kalendar cuti yang lebih jelas dan boleh dijangka akan membantu perniagaan membuat perancangan lebih baik, mengurangkan kerugian kewangan tidak dijangka serta mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan operasi perniagaan yang stabil.

Related Articles

Back to top button