Linda Hashim, Beego Berbalah Isu Tanggungjawab

Pelakon Linda Hashim, 42, tampil membidas kenyataan suaminya, Beego, yang didakwa menyalahkannya secara terbuka berkongsi masalah rumah tangga mereka di media sosial.

Menurut Linda, Beego sepatutnya lebih sedar akan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa kepada tiga anak mereka, yang didakwa telah lama diabaikan.

“Banyak sangat tanggungjawabnya yang diabaikan. Anak-anak sakit pun tidak dibawa ke klinik. Persekolahan anak pun saya yang uruskan semuanya.

“Saya geram sebab bila saya bercakap, hanya dia saja yang betul,” katanya.

Linda turut mempertikaikan jumlah nafkah yang diberikan oleh Beego yang disifatkan jauh daripada mencukupi, apatah lagi dengan kos sara hidup masa kini.

“Paling banyak RM500, kadang-kadang cuma RM300. Itu bukan nafkah yang sesuai untuk anak-anak yang semakin membesar,” kongsinya seperti dilaporkan Berita Harian.

Kata Linda lagi, segala perbelanjaan harian anak, termasuk pengasuh, kos ke sekolah, klinik dan keperluan asas lain ditanggung sepenuhnya oleh dirinya.

Malah, wang yang diberikan suaminya hanya cukup untuk keperluan asas seperti susu dan makanan anak-anak selama beberapa hari sahaja.

“Kos kenderaan anak ke sekolah, pengasuh, saya yang tanggung sepenuhnya. Sakit anak, klinik, apa semua, resit semua ada, saya tanggung sepenuhnya.

“Duit yang dia pindahkan betul-betul, saya pergi beli susu anak. Susu anak dia dah lebih RM100.

“Duit lauk, kalau ada baki lagi RM300 hanya untuk seminggu saja. Anak-anak bukan makan sekali sahaja sehari,” kongsinya lagi.

Beego sebelum ini mendakwa tidak mendapat nafkah batin dan mempertikaikan tindakan Linda keluar rumah tanpa izin sejak sembilan bulan lalu serta menyekat akses komunikasi di semua medium kecuali Facebook.

Mengulas hal itu, Linda berkata dia tidak gentar kerana mempunyai pelbagai bukti termasuk dakwaan kecurangan suaminya sejak awal perkahwinan mereka.

“Sejak anak sulung saya baru tiga bulan dalam kandungan, dia sudah mula buat hal. Selama 12 tahun saya banyak bersabar.

“Sembilan bulan ini, apalah sangat jika dibandingkan dengan semua yang saya lalui,” ungkapnya.

Related post

Leave a Reply