GlobalViral

Lelaki Terjun Berbogel Dalam Minyak Panas Di Restoran Tempatnya Bekerja Meninggal Dunia

Seorang lelaki di Amerika Syarikat (AS) dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu insiden tragis di sebuah restoran.

Menurut laporan The Mirror, kejadian itu berlaku di sebuah cawangan rangkaian restoran Itali-Amerika, Olive Garden, di Williamsport, Pennsylvania.

Difahamkan, lelaki tersebut menanggalkan kesemua pakaiannya di kawasan dapur restoran sebelum terjun ke dalam minyak panas, lalu mengakibatkan kecederaan parah.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.

Beberapa kakitangan restoran turut cedera ketika cuba mengeluarkan lelaki tersebut, dengan sekurang-kurangnya seorang pekerja wanita mengalami kecederaan ringan. Seorang pelanggan yang berada di restoran itu juga cuba membantu bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.

Perkhidmatan perubatan kecemasan tempatan dan polis negeri mengklasifikasikan kejadian itu sebagai satu cubaan bunuh diri dan memaklumkan bahawa maklumat lanjut tidak akan didedahkan atas sebab tersebut.

Rakaman audio panggilan kecemasan berkaitan insiden itu disifatkan sebagai menyayat hati dan mencemaskan.

Menurut New York Post, laporan awal kepada pihak kecemasan hanya menyebut bahawa seorang mangsa lelaki mengalami kecederaan serius melibatkan peralatan memasak, manakala seorang operator lain melaporkan suasana kecoh dengan jeritan orang ramai.

Restoran berkenaan dilaporkan ditutup selama beberapa hari selepas kejadian yang berlaku pada 30 Januari itu, namun kini telah dibuka semula.

Related Articles

Back to top button