
Seorang lelaki tempatan baru-baru ini berkongsi di media sosial bagaimana tindakannya mengelak subjek Bahasa Melayu semasa zaman persekolahan akhirnya menjadi penyesalan terbesar dalam hidupnya.
Dia berkata, keputusan itu menjejaskan keupayaannya untuk berkomunikasi dengan rakan sekerja serta memberi kesan buruk terhadap hampir setiap aspek kehidupannya.
Dalam satu hantaran Facebook yang panjang, lelaki bernama Vincent Tan itu memberitahu, sejak zaman sekolah rendah, dia sentiasa menghadapi kesukaran untuk menguasai Bahasa Melayu, dan hal itu membuatkannya sangat membenci subjek tersebut.
Akibatnya, dia sering tidak menghantar kerja rumah subjek berkenaan tepat pada masanya dan gagal dalam setiap peperiksaan yang melibatkan bahasa kebangsaan itu.
Ibu bapanya cuba membantu dengan menghantarnya ke kelas tuisyen Bahasa Melayu, namun usaha tersebut tetap tidak banyak membantu memperbaiki keputusan peperiksaannya.
Apabila Vincent melangkah ke sekolah menengah, dia memilih untuk masuk ke sekolah persendirian Cina yang hanya menawarkan satu kelas Bahasa Melayu, sekali gus membolehkannya mengelakkan subjek itu bagi sebahagian besar tempoh pengajiannya.
Selama enam tahun berikutnya, dia menikmati kebebasan daripada mempelajari Bahasa Melayu. Namun dia akhirnya terpaksa berdepan realiti pahit apabila menduduki peperiksaan SPM.
“Apabila saya memegang kertas soalan itu, ia seolah-olah mengenali saya, tetapi saya langsung tidak mengenalinya. Untuk soalan aneka pilihan, saya pilih ‘A’ sahaja. Untuk karangan pula, saya salin semula soalan dan menyerahkan kertas selepas hanya 30 minit,” tulisnya.
Nasib menyebelahinya, Vincent berjaya lulus peperiksaan SPM, membuatkan dia percaya bahawa dia masih boleh terus melarikan diri daripada subjek Bahasa Melayu apabila melanjutkan pelajaran.
Walaupun pada awalnya dia ingin melanjutkan pengajian ke Taiwan, Vincent akhirnya memilih untuk kekal di Malaysia selepas menimbang semua pilihan yang ada.
Namun, realiti sebenar menampar wajah apabila dia melangkah ke alam pekerjaan dan mendapati hampir setiap aspek kehidupannya memerlukan penggunaan Bahasa Melayu.
“Ramai rakan sekerja saya orang Melayu, dan apabila saya memesan makanan, kebanyakan kakitangan bercakap dalam Bahasa Melayu. Hampir semua urusan di jabatan kerajaan juga dijalankan dalam Bahasa Melayu.
“Oleh sebab Bahasa Melayu ialah bahasa rasmi Malaysia, kebanyakan dokumen ditulis terutamanya dalam Bahasa Melayu, manakala terjemahan Bahasa Inggeris hanyalah satu ‘tambahan’, bukan jaminan.
“Apabila saya memulakan perniagaan sendiri, saya sering terpaksa mengupah ‘runner’ untuk membantu urusan pentadbiran, dokumen dan prosedur kerana saya sangat lemah dalam Bahasa Melayu,” katanya.
Vincent berkata, dia kini benar-benar menyesal dengan keputusannya untuk tidak mempelajari Bahasa Melayu dengan bersungguh-sungguh. Tambahnya, dia tidak pernah menyangka betapa pentingnya untuk menguasai bahasa itu dengan baik.
“Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum dan bahasa adalah jambatan komunikasi. Untuk sesebuah negara bergerak ke arah perpaduan dan integrasi, mesti ada satu bahasa bersama. Dan bahasa itu ialah Bahasa Melayu.
“Bahasa bukan dicipta untuk membuatkan kita melupakan akar umbi, mengehadkan pembangunan atau mewujudkan perpecahan. Ia wujud supaya rakyat sesebuah negara boleh berkomunikasi dengan lebih baik, saling memahami dan hidup bersama,” tulisnya.
Sumber: Facebook



